
Presiden MCA Wee Ka Siong menyifatkan masih terlalu awal untuk menganggap rundingan agihan kerusi PRN Melaka antara Barisan Nasional (BN) dan partinya sebagai positif.
Wee mengesahkan Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir dan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh telah bertemu dengan beliau serta seorang lagi pimpinan MCA di sebuah hotel di ibu negara.
Pertemuan kira-kira 11 malam semalam itu diadakan atas arahan Pengerusi BN Zahid Hamidi.
Suasana mesra, tetapi belum capai matlamat
“Ya, ia berlangsung dalam suasana tenang dan mesra tanpa sebarang pertengkaran. MCA telah menyatakan dengan jelas rasa tidak puas hati terhadap pengagihan kerusi bagi PRN Melaka.
“Namun saya berpandangan bahawa kita masih belum mencapai matlamat tersebut. Adalah terlalu awal untuk menyifatkan hasil pertemuan itu sebagai positif pada peringkat ini,” katanya di Facebook.
Wee berkata, kedua-dua pihak perlu meneruskan perbincangan dan beliau berharap satu titik penyelesaian dapat dicapai dalam tempoh satu atau dua hari lagi.
Tambahnya, sebarang keputusan mengenai langkah MCA seterusnya dan pendirian muktamad parti berhubung PRN Melaka akan ditentukan secara kolektif oleh kepimpinan tertinggi parti di peringkat pusat.
Sebelum ini, Zahid dilaporkan berkata perbincangan khas agihan kerusi gabungan itu bagi PRN Melaka dengan MCA telah selesai dan mencapai perkembangan positif.
Pemimpin MCA tinggalkan majlis pengumuman calon
Sabtu lalu, Wee mengetuai tindakan pemimpin parti itu meninggalkan majlis pengumuman calon BN untuk PRN Melaka kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan berhubung pengagihan kerusi.
Menurut beliau, kerusi yang pernah ditandingi MCA diberikan kepada parti lain tanpa sebarang rundingan, walaupun MCA merupakan komponen BN sejak sekian lama.
21 calon BN diumumkan
BN mengumumkan 21 calon, termasuk Naib Presiden MCA Lim Ban Hong dan exco Ngwe Hee Sem untuk mempertahankan kerusi Kelebang serta Machap Jaya.
Baki tujuh kerusi pula diberikan kepada PAS serta rakan strategiknya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.