
Presiden Umno, Zahid Hamidi, mengesahkan bahawa kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Umno di Negeri Sembilan kekal menyokong kerajaan perpaduan negeri.
Beliau berkata pendirian itu dicapai selepas perbincangan bersama semua Adun terlibat bagi meneliti semula keadaan sebenar serta memperbetulkan persepsi yang timbul susulan tindakan mereka sebelum ini.
Perbetul persepsi tindakan Adun
Menurut Zahid, terdapat tafsiran berbeza terhadap keputusan menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun, yang menimbulkan salah faham seolah-olah wujud usaha membentuk kerajaan baharu melalui ‘tebuk atap’.
“Apabila ada persepsi dan pentafsiran yang berbeza daripada niat asal, saya telah mengadakan perbincangan dengan semua 14 Adun tersebut untuk melihat semula keadaan.
“Kita tidak berhajat untuk ‘retract’, sebaliknya mahu membetulkan persepsi iaitu ia satu langkah yang berniat baik agar institusi raja dan institusi adat di Negeri Sembilan dapat dihormati dan didukung oleh semua rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Memperkasa Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia serta majlis menandatangani memorandum persefahaman MyDigital ID.
Tiada niat bentuk kerajaan baharu
Zahid menegaskan bahawa tindakan Adun terbabit bukan bertujuan menubuhkan kerajaan negeri melalui pintu belakang, sebaliknya berkait dengan usaha mempertahankan institusi raja dan adat.
Isnin lalu, kesemua 14 Adun Barisan Nasional menarik balik sokongan terhadap Aminuddin atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan beliau.
Ketua mereka, Jalaluddin Alias, menyatakan keputusan itu berkait dengan krisis berterusan melibatkan empat undang luak yang dikaitkan dengan isu kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Isu pelantikan MB perlu dirunding
Mengulas keperluan melantik menteri besar baharu, Zahid berkata perkara itu perlu dibincangkan bersama antara pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
Menurutnya, kedua-dua gabungan mempunyai perjanjian bersama yang menetapkan sebarang isu perlu diselesaikan melalui rundingan.
“Pada hemat saya, Perdana Menteri selaku pengerusi Pakatan Harapan bersikap terbuka untuk kita bersama-sama melihat dan menyelesaikan perkara secara terperinci.
“Ini demi kepentingan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.