
Penganalisis politik memberi amaran bahawa perdebatan terbuka mengenai isu calon perdana menteri tanpa perbincangan rasmi berisiko menjadi duri dalam daging kepada Perikatan Nasional, PN.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, ketika Pilihan Raya Umum ke-16, PRU16 semakin hampir, PN sepatutnya menumpukan perhatian kepada isu substantif yang menyentuh kepentingan rakyat.
Menurutnya, tindakan membangkitkan soal calon perdana menteri ketika ini dilihat tidak selari dengan keperluan semasa gabungan tersebut.
Polemik calon dan pendirian parti
Mazlan berkata, PAS sebelum ini menyatakan pendirian untuk tidak menamakan calon perdana menteri sehingga keputusan PRU16 diumumkan. Namun, beliau melihat timbulnya cadangan untuk menjadikan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai poster boy sebagai sesuatu yang mengundang persoalan.
Katanya, PAS juga sebelum ini tidak bersetuju dengan tindakan Bersatu yang meletakkan Muhyiddin Yassin secara sepihak sebagai calon perdana menteri menerusi usul Perhimpunan Agung Tahunan pada September tahun lalu.
“Ia boleh menjadi polemik yang memecahkan hubungan kerjasama antara PAS dan Bersatu sekiranya pucuk pimpinan mengambil serius pandangan Pemuda itu.
“Sepatutnya mereka memberi tumpuan kepada isu besar seperti ekonomi dan usaha mendapatkan sokongan pengundi bukan Melayu jika mahu menggantikan kerajaan Madani, tetapi perkara seperti ini pula yang kembali timbul,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa isu berkenaan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan dalam Bersatu yang kini dilihat terbahagi kepada dua kem, iaitu penyokong Muhyiddin dan Hamzah Zainudin yang dipecat pada 13 Feb lalu.
Cadangan angkat Samsuri dan reaksi Bersatu
Kelmarin, Pemuda PAS mencetuskan idea untuk mengangkat Samsuri sebagai calon perdana menteri parti itu dengan mendapatkan maklum balas orang ramai. Mereka menyatakan menteri besar itu telah membawa Terengganu ke tahap lebih tinggi.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz mengingatkan bahawa sebarang cadangan perlu dibincangkan dalam majlis tertinggi komponen sebagai menghormati rakan gabungan lain yang turut terdiri daripada Gerakan dan MIPP.
Samsuri sebelum ini dipilih sebagai pengerusi PN menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu.
Jangkaan konflik dalaman berterusan
Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menjangkakan konflik dalaman PN akan berterusan selagi masih terdapat banyak kawasan kelabu di peringkat kepimpinan tertinggi gabungan itu.
Beliau berpandangan pelantikan Samsuri sebagai pengerusi dilihat sebagai langkah kompromi terbaik ketika ini, mengambil kira imej beliau yang lebih sederhana.
Namun, Syaza menegaskan PN seharusnya memberi fokus kepada perkara yang lebih substantif bagi membuktikan mereka benar-benar bersedia sebagai kerajaan dalam penantian.
Katanya, soal kepimpinan tetap penting dan selagi ia terus dipertikaikan tanpa persefahaman, sukar untuk menunjukkan kesiapsiagaan menghadapi isu yang lebih besar.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.