
Bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin melancarkan serangan terbuka terhadap presiden parti, Muhyiddin Yassin susulan pemecatannya oleh lembaga disiplin parti semalam.
Berucap di hadapan lebih 500 penyokong pada perhimpunan di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya hari ini, Hamzah berkata beliau masih tertanya-tanya punca sebenar penyingkirannya daripada parti.
“Hantu apa yang ada dalam parti Bersatu ini?
“Saya pernah jadi penyokong nombor satu beliau. Hari ini, saya ingin nyatakan, saya penentang nombor satu beliau,” katanya.
Dakwa banyak berkorban demi parti
Hamzah menegaskan beliau telah banyak berkorban demi perjuangan Bersatu dan negara.
“Jika kamu guna anjing-anjing upahan untuk serang saya, kini saya musuh nombor satu kamu,” katanya.
Menurutnya, setiap permintaan bantuan daripada Muhyiddin sebelum ini dipenuhi, termasuk sumbangan kewangan menggunakan wang sendiri demi perjuangan parti.
“Semuanya demi perjuangan, kerana saya sedar perjuangan sebenar perlukan pengorbanan,” katanya.
Tidak akan buat rayuan
Hamzah turut memohon maaf kepada ahli parti dan menegaskan beliau tidak akan kembali kerana tidak berhasrat membuat rayuan terhadap keputusan pemecatan tersebut.
“Saya nak lihat masa depan lebih cerah. Kita kena reset, nak bina negara ini,” katanya sambil menyeru penyokong agar terus menyokong perjuangannya.
Beliau merupakan antara 17 pemimpin Bersatu yang dipecat susulan kemelut kepimpinan antara beliau dan Muhyiddin.
Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali memaklumkan lembaga disiplin melucutkan keahlian Hamzah selepas mendapati beliau melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti, yang mensyaratkan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tata kelakuan.
Gagal hadir prosiding disiplin
Terdahulu, Hamzah dipanggil menghadap lembaga disiplin susulan aduan bahawa beliau cuba mensabotaj perhimpunan agung tahunan 2025 serta menggugat kepimpinan parti.
Bagaimanapun, beliau gagal hadir ke prosiding pada Khamis kerana berada di Sydney, Australia.
Setiausaha sulitnya, Ahmad Ikhwan Fadhli berkata Hamzah berada di luar negara ketika menerima notis pada 7 Feb dan telah memaklumkan kepada lembaga disiplin bahawa beliau tidak dapat hadir.
Satu notis bertarikh 6 Feb menyatakan ia merupakan panggilan kedua, selepas panggilan awal yang dikeluarkan pada Oktober tahun lalu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.