
Polis Diraja Malaysia mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan berkaitan penjualan dan penggunaan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Hanya dua jenis dibenarkan dengan permit
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata hanya bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan untuk dijual serta dimainkan sepanjang tempoh perayaan.
Menurut beliau, kebenaran itu diberikan kerana kedua-dua jenis berkenaan tidak mengandungi bahan bakar yang boleh mengancam keselamatan awam.
Bagaimanapun, penjualan bahan tersebut masih tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah berkaitan, mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.
“Sesiapa yang memiliki, menjual, membeli dan bermain mercun serta bunga api selain daripada yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, Akta 207.
“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amaran elak gangguan selepas tengah malam
Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran agar aktiviti bermain bunga api tidak dilakukan melebihi jam 12 tengah malam sehingga menyebabkan kacau ganggu atau mendatangkan bahaya kepada orang ramai.
Katanya, individu yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955, Akta 366 serta Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman sama iaitu penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
PDRM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat, sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini sepanjang musim perayaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.