
Penganalisis politik menjangkakan hasrat PAS untuk memenangi kerusi sulung di Sarawak pada pilihan raya negeri akan datang masih tidak menentu, termasuk di kawasan Beting Maro yang pernah menyaksikan persaingan daripada parti itu.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Jeniri Amir berkata sasaran tersebut dilihat sukar dicapai kerana PAS tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh berbanding parti tempatan di negeri itu.
Menurutnya, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu yang menerajui Gabungan Parti Sarawak masih berada dalam kedudukan yang sukar dicabar oleh parti lain.
Saingan di Beting Maro bukan kerana kekuatan PAS
Jeniri berkata walaupun PAS pernah memberikan saingan sengit di Beting Maro, situasi itu bukan disebabkan kekuatan parti tersebut.
“Walaupun di Beting Maro mereka pernah beri saingan sengit, tetapi itu bukan kerana kekuatan PAS, sebaliknya kelemahan atau sabotaj dalam PBB pada waktu itu,” katanya kepada FMT.
Beliau merujuk kepada keputusan pilihan raya negeri Sarawak 2021 apabila PAS berjaya mengecilkan majoriti kemenangan kepada 1,711 undi.
Pada ketika itu, PAS diwakili pesuruhjaya negeri, Arifiriazul Paijo yang tewas kepada calon GPS, Razaili Gapor.
Sokongan masyarakat pelbagai kaum masih terhad
Jeniri turut berpandangan bahawa faktor lain yang menyukarkan PAS menembusi Sarawak ialah kekuatan parti itu yang masih minimum serta pendekatan perjuangannya yang dilihat kurang serasi dengan nilai masyarakat pelbagai kaum di negeri tersebut, termasuk dalam kalangan orang Melayu di Sarawak.
Beliau mengulas hasrat PAS untuk bertanding sekurang-kurangnya empat kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.
Kekuatan GPS sukar dicabar
Pandangan sama turut disuarakan Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah yang menegaskan prestasi pentadbiran GPS di bawah pimpinan Abang Johari Openg menjadikan usaha PAS untuk melebarkan pengaruh di Sarawak lebih mencabar.
Menurutnya, PAS juga tidak mempunyai pemimpin yang memiliki tarikan politik seperti yang dimiliki Adun Karambunai di Sabah, Aliakbar Gulasan.
Lee berkata ketika ini pengundi di Sarawak cenderung menyokong parti tempatan, malah Pakatan Harapan juga dijangka berdepan cabaran besar di negeri tersebut.
“Tidak mustahil apa yang berlaku di Sabah, apabila Pakatan Harapan hanya memenangi satu kerusi, boleh berlaku di Sarawak,” katanya.
Beliau menambah bahawa langkah PAS untuk bertanding di Sarawak merupakan tindakan berani, namun usaha itu dijangka berdepan pelbagai cabaran.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.