
Seorang cucu kepada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengalami kerugian kira-kira RM1.8 juta selepas kediamannya di Bukit Ledang, Kuala Lumpur dipecah masuk kelmarin.
Menurut sumber, kejadian disedari kira-kira jam 3 petang apabila pembantu rumah mangsa menghubungi beliau dan memaklumkan bahawa pintu pagar belakang telah dipotong dan bilik mangsa telah dimasuki pencuri.
“Mangsa kemudian membuat semakan dan mendapati terdapat kesan pecah masuk di biliknya. Selepas pemeriksaan, mangsa mendapati beberapa barang miliknya hilang,” kata sumber tersebut.
Mengikut laporan Harian Metro, pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamed Usuf Jan mengesahkan kejadian itu. Beliau berkata, kerugian dianggarkan RM1.8 juta membabitkan kehilangan barang kemas di bilik mangsa.
“Suspek masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan termasuk meneliti rakaman CCTV di kediaman berkenaan,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.