
Presiden Gerakan Dominic Lau menggesa semua komponen dalam Perikatan Nasional memberi tumpuan kepada usaha menyatukan kekuatan dan memperkukuh jentera sebagai persediaan untuk menggantikan kerajaan Madani pada masa hadapan.
Beliau menyambut baik kenyataan Presiden PAS Hadi Awang semalam yang menekankan kepentingan perpaduan dalam PN, sambil menegaskan bahawa persefahaman merupakan teras utama dalam memperkukuh gabungan berkenaan.
“Ini bukan masanya untuk pertikaian dalaman. Sebaliknya PN perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha menyatukan kekuatan, memperkukuh jentera, menyelaras strategi serta membina keyakinan rakyat,” katanya.
Kesatuan komponen asas kekuatan PN
Lau berkata, kekuatan PN terletak pada kesatuan keempat-empat parti komponennya yang perlu bergerak seiring berlandaskan semangat muafakat, saling menghormati dan komitmen bersama.
Menurutnya, hanya melalui perpaduan yang kukuh antara semua parti dalam PN, gabungan itu mampu tampil sebagai alternatif yang berwibawa untuk menggantikan kerajaan Madani.
“Gerakan percaya sebuah kerajaan yang lebih stabil dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat hanya dapat ditawarkan melalui perpaduan yang benar-benar utuh,” katanya.
Kenyataan PAS tolak spekulasi dalaman
Semalam, dilaporkan Hadi menepis dakwaan wujud usaha menyingkirkan Muhyiddin Yassin daripada PN kerana perkara itu tidak dibangkitkan dalam pemukiman tertutup parti yang bermula Jumaat lalu.
Beliau menjelaskan pemukiman tersebut memberi tumpuan kepada agenda memperkukuhkan PAS serta mempererat perpaduan dalam PN, sekali gus menolak spekulasi bahawa PAS akan meninggalkan gabungan itu.
Gesaan gencatan senjata sementara
Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Setiausaha Agung PAS Syahir Sulaiman menyeru Bersatu dan PAS melaksanakan gencatan senjata sementara menunggu mesyuarat segera majlis tertinggi PN.
Gesaan itu susulan kenyataan Marzuki Mohamad, bekas ketua setiausaha sulit Muhyiddin, berhubung jawatan pengerusi PN yang menjadi subjek pertikaian antara Bersatu dan PAS sejak Muhyiddin melepaskan jawatan berkenaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.