
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Ellron Angin, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau menerima rasuah atau terlibat dalam sebarang transaksi bernilai RM530,000, seperti yang dilaporkan dalam artikel Malaysiakini bertarikh 28 Jun 2025 bertajuk “Lagi Kejutan Sabah: Skandal Pelombongan Selubungi STAR, Pemimpin Tertinggi PBS.”
Dalam satu kenyataan media rasmi hari ini, Ellron menyifatkan tuduhan tersebut sebagai satu fitnah yang tidak berasas, bersifat jahat dan didorong oleh agenda politik yang tidak matang, yang cuba mencemarkan reputasi beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri dan anggota pentadbiran kerajaan negeri.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Ia adalah rekaan semata-mata dan bertujuan untuk merosakkan imej saya serta menjatuhkan kredibiliti saya di mata rakyat,” tegas beliau.
Ellron menambah bahawa beliau sentiasa berpegang teguh kepada prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang telus, sejajar dengan pendirian Kerajaan Negeri Sabah dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
“Saya berkhidmat dengan penuh tanggungjawab dan berlandaskan prinsip tata kelola yang bersih. Integriti kekal menjadi tunjang kepada setiap tindakan saya sebagai anggota pentadbiran negeri,” katanya.
Sebagai respon kepada dakwaan tersebut, Ellron memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan pasukan guamannya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan palsu dan berunsur fitnah.
“Saya tidak akan berdiam diri. Kebenaran mesti ditegakkan, dan mereka yang menyebar fitnah harus dipertanggungjawabkan melalui saluran perundangan yang sewajarnya,” ujar beliau lagi.
Isnin lalu, pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Andi Suryady Bandy dan Adun Sindumin, Yusof Yacob didakwa menerima rasuah berkaitan permohonan lesen melombong mineral di negeri itu.
Yusof juga merupakan pengerusi Qhazanah Sabah Bhd, cabang pelaburan kerajaan negeri.
Ahli perniagaan Albert Wei pula didakwa memberi rasuah kepada mereka.
Skandal berkenaan dilaporkan tahun lalu selepas beberapa siri video mengaitkan beberapa Adun Sabah tersebar. Video itu didakwa menunjukkan perbincangan berunsur rasuah dan salah laku berkaitan projek melombong mineral di negeri itu.
Pada Februari, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata video berkenaan tidak mempunyai kredibiliti kerana disunting dengan ketara.