
Tekanan terhadap beberapa pengurus kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) menjadi tumpuan hujung minggu ini, dengan Manchester United berjaya memberi ruang bernafas kepada Ruben Amorim, Graham Potter semakin goyah bersama West Ham, manakala Liverpool di bawah kendalian Arne Slot terus mempamerkan rekod sempurna.
Manchester United menamatkan rentetan hambar dengan kemenangan 2-1 penuh dramatik ke atas Chelsea di Old Trafford. Perlawanan itu berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan menamatkan aksi dengan 10 pemain. Penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez, dilayangkan kad merah seawal minit kelima, sekali gus membuka ruang buat United mendominasi awal permainan.
Bruno Fernandes segera membuka jaringan pada minit ke-14, sebelum Casemiro menggandakan kedudukan pada minit ke-37. Namun, pemain tengah Brazil itu turut diarah keluar padang pada masa kecederaan babak pertama selepas menerima kad kuning kedua. Chelsea cuba bangkit menerusi jaringan Trevoh Chalobah pada minit ke-80, tetapi United bertahan untuk meraih kemenangan kedua dalam enam perlawanan musim ini.
Kemenangan itu melonjakkan skuad Amorim ke tangga kesembilan, sedikit meredakan tekanan selepas permulaan musim yang hambar. Amorim menegaskan, United perlu mengekalkan “keperluan mendesak” untuk menang menjelang pertemuan dengan Brentford hujung minggu depan.
“Kad merah Sanchez membantu kami, tetapi kami juga kehilangan Casemiro. Kami sering merumitkan permainan sendiri, namun kali ini kami bertahan sehingga akhir,” ujar Amorim.
Sementara itu, di London, tekanan semakin menghimpit pengurus West Ham, Graham Potter, selepas skuad bimbingannya tewas 1-2 kepada Crystal Palace. Kekalahan itu meletakkan The Hammers dalam zon penyingkiran selepas hanya mencatat satu kemenangan daripada lima perlawanan liga musim ini.
Potter, yang hanya mengutip enam kemenangan daripada 25 perlawanan sejak mengambil alih pada Januari lalu, kini berdepan spekulasi bakal dipecat sebelum aksi menentang Everton pada 29 September. Nama bekas pengurus Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo serta bekas jurulatih Wolves, Gary O’Neil dilaporkan sedang dipertimbangkan sebagai pengganti.
Dalam masa yang sama, di Liverpool, Ryan Gravenberch menjadi wira The Reds apabila menjaringkan satu gol dan mencipta satu bantuan jaringan dalam kemenangan 2-1 ke atas Everton pada aksi Merseyside Derby di Anfield.
Gol pembukaan hadir pada minit ke-28 hasil penyudah kemas selepas menerima hantaran Mohamed Salah, sebelum beliau melorongkan bola kepada Hugo Ekitike untuk jaringan kedua pada babak kedua. Everton sempat merapatkan jurang, namun skuad bimbingan Arne Slot mengekalkan disiplin sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu memastikan Liverpool terus mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dalam lima perlawanan EPL musim ini, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas liga.