
PAS kini semakin dominan dalam Perikatan Nasional (PN), namun timbul persoalan sama ada parti itu benar-benar bersedia menawarkan calon Perdana Menteri sendiri dan memimpin kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang baru dipilih, Shahidan Kassim, berkata PAS kini jauh berbeza berbanding dahulu dan sudah mampu mentadbir negara.
“Pada PRU14, PAS hanya ada 18 kerusi Parlimen. Sekarang kita ada 43 kerusi, ini menunjukkan sokongan rakyat semakin meningkat. Ia bukti wakil rakyat PAS sudah setanding malah boleh mengetuai kerajaan,” katanya dalam satu wawancara bersama Berita Harian.
Mengenai calon Perdana Menteri, Shahidan menegaskan perkara itu mesti diputuskan bersama oleh kepimpinan PN supaya tidak menimbulkan perpecahan. Beliau merujuk kata-kata Khalifah Islam pertama, Abu Bakar as-Siddiq: “Jika aku di jalan Allah, sokonglah aku. Jika aku menyimpang, tentanglah aku.”
Shahidan menolak dakwaan PAS tiada tokoh berskala nasional, sebaliknya menegaskan parti itu mempunyai “empat lori calon” yang layak. Katanya, PAS dengan keahlian 900,000 telah meraih lebih dua juta undi pada PRU15, termasuk sokongan pengundi bukan Melayu.
Mengenai hubungan dengan parti bukan Melayu, beliau berkata perbezaan pandangan boleh diselesaikan melalui dialog, sambil menegaskan PAS terbuka bekerjasama. Beliau menambah, walaupun perjuangan PAS berasaskan Islam, ia turut membawa nilai sejagat seperti keadilan, pendidikan dan kebajikan.
“PAS untuk semua. Kita bukan hanya bercakap soal halal dan haram. Kita perjuangkan pendidikan adil, pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial. Pendidikan adalah kunci membasmi kemiskinan bagi semua bangsa,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.