
SANDAKAN: Bekas pengerusi DAP Sabah, Frankie Poon Ming Fung, yang mengumumkan keluar parti pada Oktober lalu, dijangka menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) seawal esok.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat itu dijangka menyerahkan borang keahlian KDM pada Majlis Pelancaran Jentera KDM yang dijadual diadakan di dewan Sekolah Menengah Tiong Hua esok, menurut surat jemputan yang diedarkan kepada media hari ini.
Majlis pelancaran berkenaan dijangka dihadiri pemimpin tertinggi KDM, iaitu Pemangku Presiden Priscella Peter dan Timbalan Presiden Wetrom Bahanda.
Bulan lalu, Frankie mengumumkan keluar DAP, hanya sebulan selepas menyatakan niat untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Tindakannya itu dilaporkan berpunca daripada ketidakpuasan hati terhadap kepemimpinan parti, yang didakwa mengabaikan pemimpin veteran, serta wujud usaha untuk menggantikan kepimpinan di kawasan yang diwakilinya.
Desas-desus mengenai hasrat Frankie menyertai KDM mula timbul sejak awal minggu ini, selari dengan pertemuan Wetrom bersama komuniti dan persatuan masyarakat Tionghua baru-baru ini yang memberi bayangan parti itu akan bertanding di satu atau dua kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Sandakan.
Pada PRN14, Frankie memenangi kerusi DUN Tanjung Papat dengan majoriti 1,816 undi menewaskan bekas timbalan ketua menteri Sabah, Raymond Tan Shu Kiah, yang bertanding atas tiket Barisan Nasional.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.