
Spekulasi mengenai kedudukan Ewon Benedick dalam Kabinet akhirnya terjawab apabila beliau malam ini mengesahkan akan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) melalui muat naik di laman Facebook rasmi beliau. Ewon berkata beliau akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bagi memaklumkan peletakan jawatan tersebut.
Ewon mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peluang berkongsi ruang dalam Kabinet Persekutuan, yang menurutnya telah memberi ruang untuknya memperjuangkan prinsip berkaitan hak-hak Sabah. Beliau menegaskan peletakan jawatan itu dibuat berdasarkan prinsip dan mandat UPKO untuk memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta perlindungan hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan Ewon menyusul selepas beliau menghadiri majlis perpisahan anjuran kakitangan kementeriannya di Putrajaya kelmarin dan selepas kenyataannya di Temerloh minggu lalu yang menyifatkan ucapan tersebut “mungkin ucapan terakhir saya sebagai Menteri KUSKOP”.
Ewon menjelaskan beliau tidak dapat bersetuju dengan beberapa pendirian dan pandangan yang dinyatakan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, berhubung semakan kehakiman difailkan oleh Sabah Law Society. Menurut beliau, beberapa kenyataan AGC dianggap mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia serta syarat persetujuan Sabah menyertai Persekutuan, sebagaimana termaktub dalam dokumen asas perlembagaan.
“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC tersebut. AGC merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan. Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka,” kata Ewon.
Beliau menambah bahawa pendekatan yang diambil AGC terhadap isu tuntutan hak 40% Sabah sepanjang tiga tahun beliau dalam Kabinet adalah bercanggah dengan pendiriannya sebagai presiden UPKO. Ewon berkata beliau kekal berpegang kepada pendirian bahawa AGC tidak seharusnya memfailkan rayuan, sebaliknya perlu memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan tuntutan 40% tersebut.
“Saya telah mengatakan tidak dapat menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober itu dan bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan,” ujar beliau.
Dalam perkembangan berkaitan, pada 18 Oktober AGC memaklumkan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum mengambil sebarang tindakan susulan. Mahkamah pada 17 Oktober memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah perlu menjalankan satu lagi semakan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2022.
Isu itu tertumpu kepada tafsiran Perkara112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan; Perkara112C berkaitan geran khas serta agihan hasil kepada Sabah dan Sarawak, manakala Perkara112D menetapkan semakan berkala terhadap geran tersebut.
Sebelum ini, pada 24 Oktober, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau belum menerima notis rasmi daripada Ewon mengenai hasrat peletakan jawatan berkaitan isu itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.