
Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menetapkan tempoh sehingga Disember ini untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti, sambil menumpukan usaha membantu Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.
Ahli MPT Razali Idris berkata seluruh kepimpinan tertinggi memberi tumpuan penuh untuk memastikan PN berupaya memenangi PRN Sabah, dan mengharapkan pertikaian dalaman diselesaikan sebaik sahaja pilihan raya selesai.
“Semua ahli MPT bersetuju menyelesaikan kemelut parti secara harmoni selepas selesai PRN Sabah,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Alam Sekitar Negara peringkat negeri di Kuala Nerus, Terengganu.
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah, pada Selasa dilaporkan berharap isu yang melanda Bersatu dapat ditangani segera agar tidak menjejaskan PN, terutamanya menjelang PRN Sabah. Beliau turut menyatakan kegusaran bahawa kemelut dalaman Bersatu boleh memberi kesan kepada parti komponen lain dalam gabungan itu.
Ketegangan dalam Bersatu tercetus susulan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang berlaku di tengah-tengah pertikaian kuasa antara presiden parti, Muhyiddin Yassin, dan timbalannya, Hamzah Zainudin.
Lembaga Disiplin parti juga bertindak memecat empat ketua bahagian iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Isa Saidi (Ampang). Tindakan disiplin ini mencetuskan keresahan dalam kalangan ahli.
Keresahan itu mendorong 16 Ahli Parlimen Bersatu menandatangani sepucuk surat bertarikh 23 Okt yang menggesa Muhyiddin menangani apa yang digelar sebagai “isu dalaman”, bagi mengelakkan parti menjadi mangsa keegoan mana-mana pemimpin.
Sebelum ini MPT dilaporkan sebulat suara bersetuju berusaha bersama menyelesaikan perbalahan dalaman berdasarkan rasa saling hormat, persefahaman yang baik dan iltizam menjujung perlembagaan parti.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.