
Cadangan dasar untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal penuh dipersetujui Jemaah Menteri semalam.
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said, berkata beberapa pindaan Perlembagaan Persekutuan akan dilaksanakan bagi mengukuhkan cadangan berkenaan.
Keputusan selepas libat urus menyeluruh
Menurut Azalina, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri meneliti secara menyeluruh input dasar, pandangan awam serta syor yang dikemukakan melalui sesi libat urus holistik dengan pembabitan pelbagai pihak berkepentingan.
Beliau berkata demikian seperti dilaporkan Berita Harian.
Elak penumpuan kuasa, kukuh demokrasi
Azalina menjelaskan cadangan tersebut bertujuan mengelakkan penumpuan kuasa yang berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara.
Katanya, langkah itu selaras dengan amalan demokrasi matang di peringkat antarabangsa.
RUU dijangka dibentangkan di Parlimen
Pada 5 Jan lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memaklumkan kerajaan akan membentangkan rang undang-undang bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh.
Beliau dilaporkan berkata, rang undang-undang itu merupakan antara langkah reformasi institusi yang dilaksanakan kerajaan sebagai hala tuju pada sesi Parlimen tahun ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.