
Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak percaya mesin basuh boleh dihidupkan sekiranya seseorang seberat 53 kilogram dimasukkan ke dalamnya.
Keterangan itu diberikan apabila Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad, yang bertindak sebagai Pegawai Pengendali inkues, menyoal kemungkinan Allahyarham Zara Qairina Mahathir dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Dr Jessie mengakui beliau melihat mesin basuh di tingkat bawah asrama yang didiami arwah Zara Qairina semasa pemeriksaan lokasi sebelum ini, namun beliau tidak mengukur saiz peralatan tersebut.
Soal jawab ringkas antara Pegawai Pengendali dan Dr Jessie direkodkan seperti berikut:
Pegawai Pengendali: “Ada jumpa mesin basuh?”
Dr Jessie: “Ya, ada.”
Pegawai Pengendali: “Di mana?”
Dr Jessie: “Di tingkat bawah, bersebelahan tangga.”
Pegawai Pengendali: “Berapa banyak?”
Dr Jessie: “Saya tidak ingat bilangan tepat, tetapi lebih daripada satu.”
Pegawai Pengendali: “Saiz mesin basuh?”
Dr Jessie: “Mesin basuh jenis domestik, bukan perindustrian.”
Pegawai Pengendali: “Adakah kemungkinan si mati dimasukkan ke dalam mesin basuh?”
Dr Jessie: “Saya tidak memeriksa saiz tong, tetapi saya diberitahu berat arwah ialah 53 kilogram. Saya tidak tahu sama ada berat 53 kilogram boleh muat dalam mesin basuh itu. Namun, saya tidak percaya mesin basuh itu boleh berfungsi jika dimasukkan objek seberat 53 kilogram.”
Dr Jessie meneruskan keterangannya pada hari kedua inkues kematian Zara Qairina di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.