
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa institusi audit mesti bebas dari segi struktur dan semangat, jika tidak ia hanya menjadi alat pencitraan kerajaan, bukan penjaga amanah awam.
Dalam perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat, beliau mendedahkan Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 Tahun 2025 hanya mengandungi 196 muka surat, rekod paling sedikit dalam beberapa tahun.
“Tahun 2022, laporan mencecah hampir 900 muka surat; tahun 2024, 350 muka surat. Ironinya selepas pindaan Akta Audit 2019 berkuat kuasa pada 2024, laporan semakin mengecil.”
Beliau mempersoalkan sama ada pengurangan muka surat disebabkan perubahan metodologi atau kerana Jabatan Audit sibuk dengan program lain hingga mengabaikan tugas utama.
Ahmad Fadhli turut menggesa jawatan Ketua Audit Negara tidak berada dalam sistem pentadbiran yang sedang diaudit, supaya teguran dapat dibuat dengan lebih tegas.
Beliau juga membangkitkan isu perolehan FELCRA Berhad: “Siapa berkuasa menolak pandangan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan? Adakah arahan politik untuk meneruskan perolehan walaupun laporan daya maju menunjukkan risiko tinggi dan hasil rendah?”
Katanya, tanpa saluran bebas untuk penjawat awam membuat laporan, rakyat hanya tahu selepas skandal berlaku dan duit sudah lesap.
“Kini FELCRA menanggung kos pemulihan berjuta-juta ringgit dengan titik pulang modal 16 hingga 22 tahun,” tegasnya.