Selepas 106 hari memegang jawatan menteri besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim akhirnya meletakkan jawatan berkuat kuasa 16 November.
Kenyataan berhubung peletakan jawatan pemimpin utama negeri itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abd Kadir.
Menurut Zambry, Ismail telah mengutus surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 16 November. Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, turut menerima salinan surat berkenaan.
Ismail enggan beri kenyataan
Bagaimanapun, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh enggan memberi sebarang kenyataan ketika dihubungi pemberita menerusi WhatsApp. Beliau meminta diberikan sedikit ruang buat masa ini.
“Maaf…tiada pc (sidang media) atau press statement (kenyataan media) dari saya. Terima kasih,” katanya ringkas.
Perkembangan terbaharu itu menimbulkan persoalan mengenai faktor sebenar yang mendorong Ismail mengambil keputusan tersebut. Beberapa hari sebelum ini, beliau memaklumkan kepada media bahawa perbincangan berhubung krisis adat dan pentadbiran negeri menunjukkan perkembangan positif.
Beliau berkata, ia termasuk memastikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dicadangkan berlangsung pada 26 November ini, disusuli pembentangan Belanjawan Negeri 2027, dapat dilaksanakan. Perkara itu dimaklumkan ketika beliau ditemui media selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Sembilan di Tampin pada 12 November lalu.
Surat tarik balik tular sebelum peletakan jawatan
Pada Sabtu lalu, tular surat Ismail bersama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang didakwa menarik balik surat persembahan maklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkenaan status Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Ismail yang ditemui pada hari sama di Majlis Sambutan Deepavali 2026 Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban turut mengesahkan kewujudan surat berkenaan. Beliau berharap keputusan itu dapat membantu menyelesaikan krisis yang melanda negeri tersebut.
Sumber: Ismail tidak bersedia letak jawatan
Melihat perkembangan itu, timbul dakwaan bahawa Ismail mungkin dinasihatkan pihak tertentu supaya melepaskan jawatan.
Menurut sumber, Ismail sebenarnya tidak bersedia meletakkan jawatan dan mahu menyelesaikan krisis di Negeri Sembilan. Sumber itu turut berkata, beliau telah pun mendapat tarikh menghadap Tuanku Muhriz untuk menyembah maklum tarikh persidangan DUN akan datang.
“Ikutkan tarikh menghadap dah ada. Tak tahulah, kami pun terkejut,” kata sumber itu.
Untuk rekod, Ismail mengangkat sumpah sebagai menteri besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu. Beliau pernah berkhidmat sebagai ADUN Senaling dan Juasseh secara berturut-turut, serta memegang pelbagai portfolio Exco Negeri Sembilan sejak 1999 hingga 2026.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.