Parti Bersama Malaysia (Bersama) pimpinan Rafizi Ramli berisiko mengalami nasib sama seperti Muda dan Pejuang jika terus bergerak solo tanpa menjalin kerjasama dengan parti lain, kata Puad Zarkashi.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berkata, Bersama tidak boleh bergantung kepada Rafizi saja. Sebaliknya, parti itu perlu membina kekuatan akar umbi dan mencari rakan politik untuk mengembangkan pengaruhnya.
“Bersama bergantung kepada Rafizi seorang. Ia akan jadi macam Muda dan Pejuang. Akhirnya terpaksa menyertai parti gabungan lain,” katanya dalam hantaran Facebook.
Puad mengulas kenyataan Rafizi selepas Bersama gagal memenangi sebarang kerusi pada PRN Melaka, Sabtu lalu.
Hilang deposit di 15 kerusi
Pada PRN Melaka, Bersama bertanding 16 daripada 28 kerusi DUN. Namun, parti itu hilang wang deposit di 15 kerusi, dengan hanya calon DUN Bemban mengekalkan wang deposit.
Lima belas kerusi itu ialah Kuala Linggi, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Sungai Udang, Paya Rumput, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang, Kota Laksamana, Bandar Hilir, Telok Mas dan Serkam.
Dalam pada itu, Barisan Nasional memenangi 21 daripada 28 kerusi, manakala Pakatan Harapan memperoleh empat kerusi dan Perikatan Nasional tiga kerusi.
Politik identiti dan realiti politik negara
Puad turut mempersoalkan alasan Rafizi bahawa Bersama tidak dibina untuk meraih kemenangan segera, sebaliknya mahu mencabar politik identiti.
Beliau mendakwa Bersama ketandusan isu yang mampu menarik perhatian dan membangkitkan emosi pengundi. Puad juga mempersoalkan kemampuan parti itu berkembang jika enggan menyesuaikan pendekatannya dengan realiti politik negara.
“Amat sukar untuk menjadi parti solo dalam konteks Malaysia. Kena cari rakan kongsi yang semuanya sudah terbabit dengan politik identiti. Kalau terlalu idealistik, Bersama mungkin tutup kedai lebih awal sebelum tamat satu generasi,” katanya.
Rafizi diminta terima hakikat
Mengulas pendekatan politik Rafizi, Puad berkata bekas menteri ekonomi itu perlu menerima hakikat bahawa pengalaman politiknya tidak semestinya menjadikan setiap pandangannya diterima rakyat.
“Rafizi kena belajar jadi pemimpin yang tidak merasakan dia saja yang betul dan serba tahu,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.