Di sebalik pengumuman bahawa Ismail Lasim sudah melepaskan jawatan menteri besar Negeri Sembilan semalam, ada sumber lain mendakwa Adun Juasseh itu sebenarnya tidak berbuat demikian.
Sumber terbabit turut mendakwa Ismail tidak menyerahkan sebarang surat kepada pihak istana.
“Siapa yang keluarkan kenyataan (bagi pihak Ismail) mahu meletakkan jawatan? Adakah tuan (badan) sendiri yang membuat kenyataan tersebut?
“Kalau bukan (Ismail sendiri yang keluarkan), atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?” kata individu yang enggan namanya didedahkan itu.
BN umum peletakan jawatan, istana belum sahkan
Malam tadi, Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, mengeluarkan kenyataan mengumumkan peletakan jawatan Ismail. Menurut Zambry, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, menerima salinan surat peletakan jawatan menteri besar itu yang bertarikh 16 Nov dan ditujukan kepada Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Zambry mengucapkan terima kasih kepada Ismail atas khidmat yang diberikan sebelum ini. Beliau berkata Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, akan mengemukakan calon bagi jawatan tersebut kepada Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, pagi tadi Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan memaklumkan pihak istana masih belum mengesahkan kesahihan surat peletakan jawatan itu. Menurut istana, surat berkenaan hanya dihantar ke Istana Hinggap di Seremban pada 12.16 pagi tadi oleh wakil sebuah firma guaman.
Pihak istana menegaskan sebarang peletakan jawatan menteri besar mesti diserahkan kepada Yang di-Pertuan Besar dan hanya berkuat kuasa dengan perkenan baginda.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat Ismail, Zambry dan Ahmad Zahid untuk mendapatkan ulasan.
Tangkap layar Instagram Story tular
Petang ini, tular di media sosial satu tangkap layar Instagram Story yang didakwa dimuat naik seorang anak Ismail, mempersoalkan keadaan di sebalik pengumuman peletakan jawatan itu.
“Siapa yang mengeluarkan kenyataan mengumumkan hasrat untuk meletak jawatan? Adakah individu itu sendiri yang membuat kenyataan tersebut?
“Jika tidak, atas dasar apa parti itu mengeluarkan kenyataan media?” tulis hantaran tersebut.
Malaysiakini telah menghubungi individu berkenaan untuk mendapatkan komen.
Zahid: Satu nama dikemukakan
Sementara itu, BN dilaporkan telah mengemukakan satu nama kepada istana Negeri Sembilan untuk dipertimbangkan sebagai pengganti Ismail.
“Setakat ini, saya hanya mengemukakan satu nama,” kata Ahmad Zahid seperti dipetik Sinar Harian di Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, Presiden Umno itu tidak mendedahkan siapa calon berkenaan.
Beliau turut menafikan khabar angin bahawa Umno telah mengarahkan Ismail meletak jawatan. Menurutnya, menteri besar itu memutuskan berbuat demikian “atas kehendak sendiri”.
“Beliau tidak memberikan sebarang sebab. Mungkin beliau merasakan isu ini perlu diselesaikan secepat mungkin,” kata Ahmad Zahid.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.