Kemerosotan populariti Anwar Ibrahim disifatkan luar biasa bagi seorang pemimpin yang menunggu begitu lama dan berusaha begitu keras untuk menjadi perdana menteri.
Tokoh Wartawan Negara, Abdul Kadir Jasin, berkata keadaan itu berlaku akibat nepotisme dan kegagalan menghargai jasa pejuang asal reformasi. Akibatnya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpecah-belah.
“Beliau dilihat lebih mengutamakan anak sendiri, Nurul Izzah, serta rakan baharu, Ramanan Ramakrishnan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
PH merosot, PKR gagal diperkukuh
Abdul Kadir berkata, kemerosotan berterusan Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR dan Amanah, turut jelas menerusi keputusan PRN Melaka pada 14 November lalu. Menurutnya, Anwar gagal memperkukuhkan PKR dari segi kepemimpinan dan sokongan pengundi.
“Dalam PRN Melaka, daripada 28 kerusi yang ditandingi PH, gabungan itu hanya memenangi empat kerusi dan semuanya disumbangkan DAP.
“Barisan Nasional (BN) pula memenangi 21 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan besar BN dan kekalahan teruk PH itu bukan sesuatu yang di luar jangkaan. Umno, sebagai parti tunjang BN, mempunyai kekuatan di selatan Semenanjung.
Sebaliknya, PH hanya pernah memperoleh kemenangan majoriti sekali, iaitu pada PRU 2018 di bawah pimpinan Mahathir Mohamad. Pada PRU 2022, PH di bawah Anwar hanya memenangi 82 daripada 222 kerusi Dewan Rakyat.
Menurut Abdul Kadir, Anwar hanya berjaya membentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri menerusi penyertaan BN. Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, pula menyedari bahawa tanpa kuasa, bala besar akan menimpa.
Umno pulih, tetapi sukar rampas utara dan Pantai Timur
Abdul Kadir berkata, bermula PRU 2022 dan diikuti pilihan raya di enam negeri pada 2023, PAS mencipta gelombang hijau sehingga PH-BN mengalami kekalahan teruk.
“Umno mulai berasa yang persekongkolan dengan musuh ketatnya, DAP, tidak disenangi oleh orang Melayu,” katanya.
Namun, apabila Umno mula mengkritik DAP dan merenggangkan hubungan dengan PH, sokongan orang Melayu terhadap parti itu mula pulih. Proses itu bermula di kubu kuatnya di Johor, diikuti Negeri Sembilan dan Melaka.
Bagaimanapun, kemenangan besar di tiga negeri itu bukan jaminan Umno mampu mendapatkan kembali negeri-negeri utara dan Pantai Timur. Menurut beliau, PAS dan rakan-rakannya tidak mungkin menyerahkan kerusi yang dimenangi di negeri berkenaan untuk ditandingi Umno, selain parti itu hampir pupus di kawasan terbabit.
Kerjasama PAS dan Umno
Abdul Kadir berkata, BN dan PN turut memperlihatkan gambaran wujudnya kerjasama antara kedua-dua gabungan itu. Hal ini menarik perhatian sesetengah pengundi Melayu.
Menurutnya, kerjasama itu dilihat baik oleh orang Melayu yang menentang PH kerana menganggapnya sebagai kesepakatan Umno dan PAS untuk menamatkan riwayat PH.
“PAS yang kini menjadi parti terbesar di Parlimen sangat membenci PH kerana gabungan itu mempunyai Amanah, iaitu Parti Amanah Negara, parti serpihan PAS,” katanya.
Beliau berkata, PAS juga tidak menyukai PH yang pernah dianggotainya kerana teruja dengan Anwar dan membenci Mahathir. Penyertaan PAS dalam PH, dan sebelum itu Pakatan Rakyat, didapati merugikan parti berkenaan.
Akibat menjalin hubungan baik dengan DAP, kata Abdul Kadir, PAS ditolak orang Melayu. Umno pula cepat menyedari bahawa persekongkolannya dengan DAP menerusi PH dalam Kerajaan Madani tidak disenangi penyokongnya.
Ketika ini, PAS dan Umno bekerjasama untuk menghapuskan PH. Namun, apa yang berlaku selepas matlamat itu tercapai adalah cerita berbeza.
“Tidak mustahil PAS dan Umno kembali bercakaran,” katanya.
Abdul Kadir berkata, PAS mengetahui Umno tidak lagi sekuat dahulu dan kepemimpinannya bukan yang terbaik. PAS juga berkemungkinan dituduh bersekongkol dengan parti yang melakukan banyak kerosakan jika terus berpakat dengan Umno.
Dari sudut lain, beliau berkata tidak masuk akal bagi PAS menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Umno memandangkan PAS mempunyai jumlah kerusi lebih besar di Parlimen.
Tambahnya, walaupun PAS tidak maksum, kepemimpinannya dilihat lebih berintegriti berbanding Umno.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.