Pengerusi BERSATU Kelantan, Kamaruddin Md Nor, berkata beliau menyedari khabar angin bahawa kerajaan negeri mahu menamatkan khidmatnya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang bertanggungjawab terhadap portfolio pelancongan, kebudayaan, seni dan warisan.
Bagaimanapun, katanya, beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada kerajaan negeri berhubung perkara itu.
“Ya, saya sudah mendengar khabar angin itu dan masih menunggu surat rasmi daripada kerajaan negeri sekiranya benar mereka berhasrat menamatkan khidmat saya sebagai EXCO.
“Saya akan mengadakan sidang media sekiranya saya benar-benar digugurkan daripada jawatan EXCO negeri, atau sebaik sahaja menerima surat rasmi berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi.
Berkhidmat sejak Ogos 2023
Kamaruddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, berkhidmat sebagai EXCO negeri sejak Ogos 2023.
Beliau sudah menerajui BERSATU Kelantan selama 10 tahun.
Kemelut PAS-BERSATU berterusan
Khabar angin itu timbul ketika kemelut politik antara PAS dan BERSATU, dua parti utama dalam Perikatan Nasional (PN), berterusan susulan keretakan kerjasama politik antara kedua-duanya.
Pada 8 Jun lalu, PAS mengumumkan keputusan untuk menamatkan semua kerjasama politik dengan BERSATU susulan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Langkah itu menimbulkan persoalan mengenai masa depan wakil BERSATU yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri pimpinan PAS, termasuk di Kelantan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.