
Sebuah klinik pergigian swasta di Pontian yang tular di media sosial selepas Jalur Gemilang dipasang secara terbalik diarahkan ditutup selama 30 hari.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Abdul Azim Shamsuddin, berkata notis penutupan diserahkan kepada pemilik premis kira-kira jam 8.20 pagi tadi.
Beliau menjelaskan premis berkenaan telah melanggar Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019 yang menetapkan kewajipan pengibaran bendera dengan cara yang betul.
“Setiap premis, sama ada berlesen atau tidak, diwajibkan mengibarkan Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara dan kaedah yang betul pada tempoh tertentu, termasuk sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Tindakan penutupan ini dibuat mengikut UUK 49(2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua untuk menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.
Abdul Azim berkata pemilik premis boleh mengemukakan rayuan bertulis sepanjang tempoh penutupan, namun sebarang keputusan lanjut adalah tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn.
Pegawai Daerah Pontian, Kamalludin Jamal, meluahkan kekecewaan terhadap insiden pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik yang berulang, dan menegaskan kejadian kali ini melibatkan sebuah klinik pergigian di Pusat Perdagangan Pontian.
“Kami terkejut dan tidak menyangka perkara ini akan berulang, apatah lagi melibatkan premis pergigian. Insiden ini amat mengecewakan pentadbiran daerah,” katanya.
Kamalludin menyeru masyarakat agar lebih berhati-hati supaya kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi, dan mengingatkan semua pihak supaya memasang Jalur Gemilang serta bendera Johor dengan sempurna dan tidak terbalik.
“Jika tidak pasti, mereka boleh merujuk panduan melalui pelbagai saluran, termasuk media sosial, atau mendapatkan nasihat daripada pejabat daerah dan pihak berkuasa tempatan,” tambahnya.
Semalam, tular sebuah rakaman video berdurasi 33 saat yang memaparkan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di Pontian.