
Kerjasama Perikatan Nasional (PN) dengan parti pembangkang lain hanya akan benar-benar teruji jika mereka memenangi PRU16 dan membentuk kerajaan, kata Rafizi Ramli.
Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, pengalaman lalu menunjukkan gabungan parti berbeza ideologi sukar mencapai kesepakatan dalam pentadbiran dan akhirnya lebih mengutamakan kepentingan masing-masing.
“Ujian sebenar bukanlah bersatu untuk melawan Anwar Ibrahim,” katanya di Facebook ketika mengulas langkah PN membentuk gabungan longgar dengan parti politik lain bagi menentang kerajaan pada PRU akan datang.
“Mereka perlu bersetuju tentang calon perdana menteri dan barisan menteri, serta membahagikan jawatan dan lantikan penting sesama mereka.
“Di sebalik kesatuan yang wujud sekarang, tidak banyak persamaan ideologi yang menyatukan perjuangan mereka. Malah, mereka pernah saling menyerang sebelum bersetuju untuk saling menunggang pada masa ini,” kata Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan.
Beliau turut berkata tidak banyak parti dalam gabungan baharu itu mempunyai tapak kukuh di peringkat nasional kecuali PAS, Bersatu dan Gerakan.
“Adakah ia akan berjaya menggembleng sokongan rakyat untuk menang PRU16? Sukar untuk ditentukan sekarang.
“Ia juga bergantung kepada prestasi Kerajaan Madani dan populariti Anwar sebagai perdana menteri,” katanya, sambil menambah bahawa jika Anwar gagal menunjukkan perubahan ketara dalam pentadbiran, tidak mustahil rakyat memilih untuk menukar kerajaan.
Rafizi yang juga bekas menteri ekonomi berkata, tanpa asas ideologi yang jelas, gabungan pembangkang yang longgar akan gagal menggubal dasar untuk rakyat kerana terlalu banyak kompromi dalaman.
“Akhirnya, kerajaan itu hanya akan meneruskan ‘business as usual’ asalkan pemimpin parti mendapat habuan masing-masing,” katanya.