Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menafikan dakwaan bahawa perkhidmatan Aerotrain baharu di KLIA telah rosak kurang seminggu selepas ia mula beroperasi.
Dalam satu kenyataan susulan hantaran tular di media sosial, MAHB menjelaskan bahawa perkhidmatan tersebut hanya dihentikan sementara pada jam 11 pagi hari ini selepas hujan lebat menyebabkan air bertakung di dalam terowong.
MAHB menambah bahawa pengangkutan penumpang ke terminal satelit tidak terjejas kerana mereka dapat menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik.
“Sistem saliran di dalam terowong ini dilengkapi dengan pam yang direka untuk mengatasi kemasukan air ketika cuaca buruk. Namun, salah satu pam saliran mengalami kerosakan teknikal semasa hujan lebat hari ini, menyebabkan air yang bertakung tidak dapat disedut secara automatik.
“Sebagai langkah keselamatan, operasi tren digantung sehingga air dikeluarkan secara manual dan landasan disahkan selamat untuk digunakan. Perkhidmatan bersambung semula pada jam 12.15 tengah hari selepas mendapat pengesahan penuh daripada pasukan teknikal dan keselamatan,” menurut kenyataan itu.
MAHB turut memaklumkan bahawa pasukan teknikal mereka akan terus memantau sistem dengan rapi bagi memastikan sebarang pelarasan operasi dapat dibuat serta-merta sekiranya perlu.
“Kami menghargai kesabaran dan kerjasama anda dalam usaha kami menambah baik sistem baharu ini,” tambah kenyataan tersebut.
Terdahulu, pengguna Facebook bernama Ahmad Ramadzan Soid memuat naik kenyataan pada Rabu mendakwa salah satu tren telah rosak walaupun sebuah lagi masih beroperasi. Pengguna media sosial lain pula menyatakan pintu tren tersekat akibat perbuatan seorang penumpang.
Hari ini, penulis blog pelancongan, CK Ng memuat naik hantaran mengatakan tren tidak beroperasi dan penumpang dibawa ke terminal satelit menggunakan bas.
Aerotrain yang menjadi tulang belakang sistem pengangkutan dalaman KLIA sejak 1998 telah rosak pada tahun 2023. Sejak itu, perkhidmatan bas digunakan untuk membawa penumpang antara Terminal 1 dan terminal satelit KLIA, yang kebanyakannya menampung ketibaan dan pelepasan antarabangsa.
Perkhidmatan Aerotrain yang baharu dan dinaik taraf mula beroperasi pada 1 Julai, melibatkan tiga tren yang mempunyai kapasiti maksimum 270 penumpang setiap satu.