
Pengurus Ruben Amorim memohon maaf kepada penyokong Manchester United selepas pasukannya mengalami kekalahan memalukan apabila disingkirkan daripada Piala Liga oleh pasukan divisyen keempat, Grimsby Town, awal pagi tadi.
United kelihatan berjaya bangkit di Blundell Park apabila tandukan Harry Maguire pada minit ke-89 menyamakan kedudukan 2-2, selepas pasukan itu ketinggalan 2-0 hasil aksi hambar pada separuh masa pertama. Namun penentuan sepakan penalti yang panjang berakhir dengan kekalahan 11-12, apabila pemain baharu Bryan Mbeumo — yang dikatakan memulakan kebangkitan United — menyaksikan sepakan penaltinya melantun keluar setelah terkena palang.
Amorim, yang ketika itu kelihatan kecewa, berkata pemainnya “bersuara dengan sangat kuat hari ini mengenai apa yang mereka mahukan,” seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka tidak menunjukkan kesungguhan menghadapi cabaran pasukan Liga Dua itu.
Ditanya apa yang tidak kena — soalan yang semakin kerap dibangkitkan sejak beliau mengambil alih musim lalu — jurulatih dari Portugal itu tidak menyembunyikan kekecewaan.
“Semuanya. Cara kami memulakan perlawanan, kami seperti tidak berada di sini langsung. Dalam kelab kami, bila semua perkara menjadi begitu penting, segala yang berlaku menjadi masalah buat kelab. Kami sepatutnya boleh buat jauh lebih baik. Saya hanya mahu mohon maaf kepada penyokong kami,” kata Amorim.
Beliau menambah: “Saya rasa pemain-pemain saya bersuara dengan jelas hari ini tentang apa yang mereka mahukan. Saya rasa mudah untuk anda fahami maksudnya. Mari kita fokus kepada perlawanan seterusnya, kemudian rehat untuk aksi antarabangsa. Kami akan fikirkan semuanya.”
Mengenai keputusan melalui penalti, Amorim berkata: “Tak kira (kita kalah menerusi penalti). Dalam penalti, rasanya tetap sama. Saya rasa bola sepak sangat adil hari ini. Pasukan terbaik menang.”
Penyingkiran dari Piala Liga turut menjejaskan peluang realistik United untuk memenangi trofi musim ini, dengan satu-satunya harapan kini tinggal Piala FA. Amorim mengakui masalah pasukannya lebih daripada sekadar keputusan malam ini, menegaskan ia mencerminkan isu yang lebih besar dalam skuad: “Saya pengurus. Sepatutnya saya yang faham apa yang berlaku. Sekali lagi, saya benar-benar minta maaf kepada penyokong kami. Fokus pada perlawanan akan datang. Ini lebih daripada sekadar keputusan. Ini masalah terbesar dalam pasukan. Saya rasa ia sangat jelas hari ini.”
Penjaga gol Andre Onana, yang kembali beraksi, menunjukkan prestasi mengecewakan apabila terlibat dalam kedua-dua gol Grimsby — pertama dibolosi di tiang dekat, kemudian gagal mengawal hantaran lintang yang disudahkan bekas pemain akademi United, Tyrell Warren. Amorim menolak supaya kelemahan itu dibebankan hanya kepada penjaga gol: “Ini bukan tentang Andre. Dengan segala hormat. Saya sudah pun katakan pasukan terbaik yang menang. Tapi ini pasukan dari divisyen keempat. Ini bukan salah penjaga gol semata-mata, ia lebih besar daripada itu.”
Kekalahan itu menambah tekanan selepas United hanya memperoleh satu mata daripada dua perlawanan awal Liga Perdana Inggeris (EPL), dan menutup malam yang menyaksikan banyak soalan dibangkitkan mengenai prestasi serta arah tuju pasukan.