
Seramai 400 individu dipercayai ahli sindiket penipuan dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Bangsar South, di sini, kelmarin, yang dipercayai dijadikan pusat panggilan kegiatan jenayah berkenaan.
Penahanan itu, yang dilaksanakan kira-kira jam 11 pagi, melibatkan pelbagai warga termasuk warga asing dan wanita, menurut maklumat awam serta risikan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, mengesahkan serbuan dan penahanan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut ketika ditemui. “Siasatan masih berjalan memandangkan tangkapan dilakukan dalam jumlah yang besar. Satu sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan polis percaya berjaya menumpaskan satu sindiket perjudian dan penipuan dalam talian terbesar di ibu negara selepas menahan ratusan individu dalam serbuan ke atas sebuah bangunan komersial di Bangsar South. Sekurang-kurangnya lima tingkat bangunan terbabit dipercayai menempatkan pusat panggilan yang digunakan oleh sindiket itu.
Difahamkan kumpulan lelaki dan wanita yang ditahan dibawa secara berperingkat dengan tujuh kenderaan ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.
Tangkapan berkenaan turut mencetuskan spekulasi di media sosial, yang mendakwa bangunan itu ada kaitan dengan sebuah syarikat atau broker dalam talian. Syarikat tersebut didakwa tidak memiliki lesen Bank Negara Malaysia (BNM) dan dikatakan berdepan rungutan pelanggan yang gagal mengeluarkan wang. Pihak berkuasa masih menyiasat dakwaan berkenaan.