
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah meminta penjelasan rasmi daripada TikTok susulan laporan media mengenai penggunaan platform itu bagi merekrut individu untuk aktiviti penyeludupan dadah ke luar negara.
Dalam kenyataan, MCMC berkata permintaan itu berkait dengan mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan dalaman TikTok terhadap kandungan atau iklan yang disyaki digunakan bagi tujuan jenayah, termasuk tawaran kerja palsu yang boleh memperdaya pengguna.
Menurut MCMC, penyalahgunaan platform dalam talian bagi merekrut atau menipu pengguna untuk aktiviti jenayah melalui kandungan palsu merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Selain itu, Seksyen 263(1) akta sama menetapkan bahawa semua pemegang lesen perlu mengambil langkah munasabah untuk memastikan rangkaian di bawah kawalan mereka tidak digunakan bagi tujuan menyalahi undang-undang.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati terhadap tawaran kerja mudah atau berpendapatan tinggi di media sosial, terutama yang melibatkan penghantaran barangan ke luar negara. Tawaran sebegini sering digunakan oleh sindiket untuk memperdaya mangsa menjadi ‘keldai dadah’ (drug mule),” kata MCMC.
MCMC berkata ia akan terus bekerjasama rapat dengan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memperkukuh pemantauan serta meningkatkan kesedaran awam mengenai risiko penyalahgunaan media sosial untuk aktiviti jenayah rentas sempadan.
Semalam, Ketua Pengarah AKPS, Mohd Shuhaily Mohd Zain, mendedahkan agensi itu berjaya menggagalkan cubaan empat individu tempatan menyeludup 86 kilogram ganja bernilai hampir RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 3 November.
Siasatan awal mendapati semua suspek, dua pasangan suami isteri berusia 20-an dari Johor, mengaku menerima tawaran kerja melalui aplikasi TikTok untuk membawa barangan dengan bayaran antara RM8,000 hingga RM11,000.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.