Muhyiddin Yassin mencadangkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memecat menteri yang tidak sehaluan dengannya kerana didakwa akan menggagalkan segala dasar kerajaan.
Bekas perdana menteri itu berkata, cadangan tersebut wajar dipertimbangkan memandangkan perbalahan terbuka antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dengan Anwar boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan dasar.
Rombak Kabinet, singkir yang tidak sehaluan
“Kalau saya jadi perdana menteri, saya dah pecat mereka. Saya rombak Kabinet dan tentukan supaya mereka yang tidak sehaluan dengan saya ini tidak boleh duduk di situ, malah tidak boleh bersama dalam kerajaan.
“Sebab mereka akan menggagalkan segala dasar kerajaan. Mungkin tujuan itulah yang mereka lakukan supaya kerajaan yang dipimpin Anwar akan tumbang,” katanya, menurut Sinar Harian, ketika membantu kempen calon Bersatu di Pengkalan Batu.
Pendirian BN timbulkan kekeliruan
Presiden Bersatu itu berkata, pendirian BN semakin menimbulkan kekeliruan kerana parti tersebut masih mempunyai wakil dalam kerajaan, termasuk timbalan perdana menteri, menteri dan timbalan menteri.
Menurutnya, sebagai anggota kerajaan, sebarang ketidakpuasan hati terhadap dasar atau keputusan pentadbiran sepatutnya diselesaikan menerusi perbincangan di peringkat parti atau Kabinet, bukannya diluahkan secara terbuka.
“Prinsipnya, kalau kita menjadi anggota dalam sebuah kerajaan, kita tidak mengecam kerajaan sendiri atau parti yang ada dalam kerajaan. Itu prinsip biasa.
“Apa-apa isu yang tidak dipersetujui, bawa berbincang di peringkat parti atau Kabinet, bukan diluahkan di luar sehingga menunjukkan bukan sahaja berlaku keretakan, malah seolah-olah kerajaan perpaduan sudah mahu pecah,” katanya.
Anwar pernah cabar menteri kritik kerajaan
Pada 5 Nov, Anwar mencabar menteri Kabinet yang mengkritik kerajaan perpaduan semasa berkempen pada PRN Melaka supaya membangkitkan rungutan mereka pada mesyuarat Kabinet.
Sebelum ini, beliau turut membidas pemegang jawatan persekutuan yang menggunakan kedudukan mereka untuk mengkritik rakan kongsi kerajaan perpaduan pada kempen PRN Negeri Sembilan, Ogos lalu.
Ketika itu, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, yang juga pengerusi BN, memberi maklum balas bahawa Anwar boleh memecat menteri BN sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan mereka.
Pada PRN Melaka, PH dan BN tidak bekerjasama walaupun bersekutu di peringkat persekutuan. BN sebaliknya mengadakan pakatan pilihan raya bersama Perikatan Nasional (PN).
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.