Peguam Negara didakwa tidak profesional berhubung tindakan meneliti tafsiran perintah pengampunan bersyarat serta kesan order of discharge selepas bayaran denda RM50 juta oleh bekas Perdana Menteri, Najib Razak, dibuat.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi, turut mempersoalkan mengapa penelitian terhadap perkara itu hanya dilakukan selepas bayaran berkenaan diselesaikan, sedangkan ia sepatutnya diteliti lebih awal.
Peguam Negara “terkejut beruk”
“Peguam Negara tidak profesional. Kenapa setelah bayaran RM50 juta dibuat baru Peguam Negara mahu buat penelitian interpretasi perintah pengampunan bersyarat serta kesan ‘order of discharge’. Kenapa tidak buat homework awal?
“Sebenarnya Peguam Negara terkejut beruk. Dia tidak terfikir rakyat berjaya mengutip dana RM50 juta membantu Najib bayar denda. Kalau denda itu RM100 juta pun rakyat mampu untuk usahakan. Menjadi hak rakyat untuk membantu. Najib tidak meminta pun,” dakwa beliau menerusi hantaran di Facebook.
Titah adendum dan Lembaga Pengampunan
Puad turut membangkitkan isu titah adendum berkaitan Najib yang sebelum ini menjadi pertikaian di mahkamah.
Beliau mendakwa isu titah adendum dan tafsiran perintah pengampunan bersyarat itu mempunyai kaitan dengan Lembaga Pengampunan serta perkenan dua Yang di-Pertuan Agong.
“Kedua-dua isu ini melibatkan Lembaga Pengampunan dan perkenan daripada dua Yang di-Pertuan Agong. Dulu disorok. Kini ditangguh. Najib terinaya lagi,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.