Seorang Ahli Parlimen DAP mempersoalkan Umno sama ada kontraktor yang terbabit dalam projek jalan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menyumbang kepada pembayaran denda RM50 juta bekas perdana menteri, Najib Razak.
Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, berkata satu poster tular di media sosial sejak semalam mendakwa tujuh kontraktor membayar denda RM50 juta yang dikenakan ke atas Najib.
Beliau secara peribadi tidak percaya dakwaan itu. Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi tidak akan menggunakan pendekatan “Saya tolong awak, awak tolong saya”.
Desak senarai kontraktor didedahkan
“Saya berharap Zahid dapat mengeluarkan senarai penuh kontraktor projek jalan luar bandar (JALB), manakala Umno pula mendedahkan jika ada mana-mana kontraktor terbabit menyumbang kepada pembayaran denda Najib,” katanya dalam kenyataan.
Chong berkata, Zahid juga perlu mendedahkan senarai lengkap projek JALB yang mempunyai bayaran tertunggak, serta semua projek baharu JALB yang diluluskan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Bagi setiap projek, kementerian perlu mendedahkan tarikh kelulusan, tarikh bayaran sepatutnya dibuat, jumlah telah dibayar serta baki bayaran belum dijelaskan.”
Denda dibayar, AGC cadang tangguh
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, parti itu telah membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas presidennya itu. Pembayaran itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara atas sabitan rasuah di bawah tahanan rumah.
Peguam Najib, Farhan Shafee mengesahkan denda itu telah dibayar.
Najib diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun bagi kes SRC International di rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat lain.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) mencadangkan tahanan rumah Najib ditangguhkan sehingga penelitian berhubung interpretasi perintah pengampunan bersyarat serta kesan ‘order of discharge’ selesai.
Namun, peguam Najib berhujah AGC tiada kuasa menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah itu. Menurut peguam itu, semua syarat yang ditetapkan dalam titah Yang di-Pertuan Agong berhubung tahanan rumah telah dipenuhi.
Perketat undang-undang pembiayaan politik
Sementara itu, Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, berkata usaha mengumpul dana bagi melunaskan denda RM50 juta Najib mengukuhkan keperluan untuk memperketat undang-undang pembiayaan politik. Langkah itu penting bagi memastikan sumber sumbangan berjumlah besar dan aktiviti pengumpulan dana politik lebih telus.
“Walaupun sumbangan orang ramai kepada parti politik mungkin tidak dilarang secara jelas di bawah undang-undang sedia ada, kita perlu membezakan antara perkara yang dibenarkan dari segi undang-undang dan perkara betul dari sudut prinsip,” kata bekas peguam itu dalam kenyataan berasingan.
Menurutnya, usaha mengumpul sumbangan itu menjejaskan tujuan hukuman bagi mencegah salah laku, memastikan individu disabitkan kesalahan bertanggungjawab serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan.
“Denda jenayah bukan sekadar dikenakan untuk mengisi tabung kerajaan. Ia bertujuan memastikan pesalah menanggung akibat daripada kesalahan dilakukannya.
“Apabila beban kewangan akibat denda jenayah dipindahkan kepada penyokong politik, kita berisiko menjejaskan tujuan sebenar hukuman itu,” kata timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya itu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.