Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, menggesa pengundi Melaka memilih calon Pakatan Harapan (PH) pada PRN 14 Nov ini, bersandarkan rekod kerajaan Madani mencipta peluang pekerjaan sebagai kerajaan persekutuan.
Hassan berkata, kemampuan menyediakan peluang pekerjaan adalah antara ciri penting untuk menilai prestasi sesebuah kerajaan.
Rekod persekutuan jadi ukuran
“Oleh kerana PH tidak menjadi kerajaan di Melaka sebelum ini, rekod kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bolehlah dijadikan sandaran ukuran sama ada kerajaan Madani, di mana PH menjadi komponen teras utamanya, sebuah kerajaan yang baik atau tidak dalam aspek menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia di seluruh negara,” katanya dalam warkah terbuka kepada pengundi Melaka.
Beliau memetik statistik guna tenaga dan pelaburan yang dilaporkan agensi kerajaan. Menurutnya, ratusan ribu peluang pekerjaan baharu telah dan sedang dijana sepanjang pentadbiran kerajaan Madani.
Hassan turut merujuk data pelaburan diluluskan pada 2023 berjumlah RM329.5 bilion, yang dijangka mewujudkan 127,332 peluang pekerjaan, berdasarkan angka Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).
Menurutnya lagi, Malaysia turut merekodkan pelaburan diluluskan RM378.5 bilion bagi 2024, yang dijangka menjana lebih 207,000 peluang pekerjaan.
Selain itu, pelaburan USD15 bilion (kira-kira RM61 bilion) oleh Google di Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2028 dijangka menyokong lebih 37,000 pekerjaan tempatan setahun sepanjang fasa pembinaan kampus pusat datanya, tambah beliau.
“Ini semua bukan propaganda politik. Ini fakta yang rakyat Melaka dan Malaysia boleh nilai sendiri hasil kerja Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani dalam usaha untuk menjana pekerjaan bagi rakyat Malaysia,” katanya.
PH bertanding 24 kerusi
Pada PRN Melaka kali ini, PH meletakkan calon di 24 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan. Gabungan itu menyasarkan kemenangan di 18 kerusi, termasuk lima kerusi yang disandangnya.
Dalam manifesto PRN Melaka yang dilancarkan pada 3 Nov, antara janji PH ialah menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada belia supaya mereka tidak perlu berpindah ke negeri lain untuk mencari pekerjaan.
Tarikh mengundi
Hari pengundian PRN Melaka ditetapkan pada 14 Nov, manakala pengundian awal berlangsung pada 10 Nov.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.