Tindakan menghalang Jabatan Peguam Negara (AGC) daripada mencabar sebarang kekaburan dalam perintah mahkamah berhubung status tahanan rumah Najib Razak boleh mencabuli kedaulatan undang-undang.
Menurut tiga NGO, langkah itu juga akan menghakis keyakinan awam terhadap sistem demokrasi berparlimen negara.
Dalam kenyataan bersama, Projek Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek Sama), Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dan Bersih berkata semua pihak perlu memberi ruang kepada proses perundangan untuk merungkai segala kekaburan berhubung pelaksanaan tahanan rumah Najib.
Mereka menyifatkan AGC cukup berwaspada dalam mengenal pasti kekaburan atau kekhilafan serius dalam perintah Mahkamah Tinggi kelmarin. Kekaburan itu berpotensi mengakibatkan penamatan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC International).
“Sama ada kekaburan atau kekhilafan ini disengajakan atau tidak, ia telah melangkaui apa yang difahami oleh orang awam mengenai keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung tahanan di rumah terhadap Najib,” menurut kenyataan itu.
Kronologi hukuman dan pengampunan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Nov lalu mengeluarkan perintah pelepasan (order of discharge on payment of fine) terhadap Najib selepas wakilnya melunaskan denda RM50 juta yang ditetapkan.
Najib dipenjara selepas disabitkan bersalah atas semua tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International pada Julai 2020. Ahli politik berusia 73 tahun itu pada asalnya dihukum penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.
Bagaimanapun, beliau menerima keringanan hukuman sebanyak dua kali, masing-masing pada 29 Jan 2024 dan 18 Sept lalu.
Pada 2024, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dipotong RM160 juta kepada RM50 juta. Dengan hukuman itu, Najib sepatutnya dibebaskan dari Penjara Kajang pada 23 Ogos 2028. Jika denda RM50 juta tidak dijelaskan, beliau akan ditahan setahun lagi.
Pada Sept lalu pula, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib. Melalui mesyuarat lembaga pengampunan ke-64, baginda menetapkan Najib diizinkan menghabiskan baki tempoh penjara di rumahnya di Jalan Langgak Duta, di pinggir Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, kelonggaran itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Dua tafsiran yang dibangkitkan AGC
Pada Jumaat lalu, Najib dibawa keluar dari Penjara Kajang untuk ditahan di rumah selepas wakilnya melunaskan denda tersebut. Namun, beliau tidak sempat menjejakkan kaki ke rumahnya kerana timbul keraguan terhadap perintah yang dikeluarkan mahkamah.
AGC kemudian mengumumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu perlu ditangguhkan sementara sehingga penelitian dan penjelasan lanjut diperoleh mengenai tafsiran perintah pengampunan bersyarat serta kesan perintah pelepasan berkenaan.
AGC membangkitkan dua kemungkinan tafsiran. Pertama, pembayaran itu hanya menyelesaikan komponen denda, manakala hukuman penjara dalam kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028. Dalam keadaan itu, tahanan di rumah ialah kaedah alternatif untuk menjalani baki hukuman, bukan bermaksud hukuman penjara sudah selesai.
Kedua, pembayaran denda itu mungkin syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya. Ini bermakna keseluruhan hukuman dalam kes SRC International, termasuk penjara, dianggap selesai.
AGC berkata persoalan itu turut menjejaskan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun Najib dalam kes 1MDB-Tanore, yang sepatutnya bermula selepas hukuman kes SRC International selesai. Permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman kes 1MDB-Tanore ditolak Mahkamah Tinggi pada 14 Okt lalu.
Projek Sama, Bersih dan C4 Center berkata, jika Najib memang dilepaskan secara tidak sah dalam kes SRC International, hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1MDB-Tanore akan bermula serta-merta.
Menurut mereka, sebarang percubaan menghalang kekaburan atau kekhilafan perintah daripada dicabar di mahkamah, secara prinsipnya, mencabuli kedaulatan undang-undang.
“Ia sekali gus mengubah sifat asas Malaysia sebagai sebuah negara raja berperlembagaan yang berteraskan demokrasi berparlimen,” kata NGO terbabit.
AGC tidak wajar ditekan
Ketiga-tiga organisasi itu berkata, perbezaan tafsiran terhadap peruntukan perlembagaan dan undang-undang dalam kalangan pelbagai institusi adalah perkara biasa. Justeru, badan kehakiman diperlukan untuk mentafsir undang-undang dan menyelesaikan pertikaian perundangan.
“Menafikan peluang AGC untuk mendapatkan jawapan atas kemusykilannya serta menghapuskan kekaburan melalui mahkamah bakal mencabuli kedaulatan undang-undang dan seterusnya menghakis keyakinan awam dan antarabangsa terhadap tatakelola yang baik serta ekonomi Malaysia,” kata mereka.
Mereka turut menegaskan mana-mana individu atau institusi yang bertindak dengan niat baik tidak sepatutnya bimbang terhadap proses semakan kehakiman.
Jika tahanan rumah terhadap Najib sah di sisi perlembagaan dan kukuh dari segi undang-undang, penangguhan singkat bagi menyelesaikan persoalan berbangkit akhirnya akan memberi kelebihan kepada bekas perdana menteri itu dari sudut pandangan awam.
Najib juga tidak sepatutnya tergesa-gesa dalam proses berkenaan sehingga menjejaskan kedaulatan undang-undang dan keyakinan orang ramai terhadap sistem demokrasi berparlimen.
Dalam perkembangan sama, mereka menggesa AGC mengumumkan pandangan bertulis peguam negara berhubung permohonan tahanan di rumah Najib.
“AGC tidak sepatutnya menerima tekanan politik mahupun dihukum kerana menjalankan peranan yang diamanahkan,” katanya.
Mereka turut mengulangi gesaan supaya semua dokumen berkaitan pengampunan Najib didedahkan, termasuk hujah bertulis peguam negara, pendirian Menteri Wilayah Persekutuan dan minit mesyuarat lembaga pengampunan.
“Berani kerana benar, takut kerana salah,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.