
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, telah mengeluarkan kenyataan hari ini menyatakan penerimaan beliau terhadap teguran yang dibuat berhubung insiden yang berlaku semasa sidang media pra-pelancaran program pencahayaan “I Lite U” di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Nga berkata beliau sedar mengenai teguran tersebut dan mengakui kemungkinan adanya kesilapan dalam insiden tersebut.
Menerusi kenyataan yang disiarkan di platform media sosialnya hari ini, beliau memetik: “Saya juga sedar kemungkinan wujudnya kekhilafan dalam perkara ini dan saya terimanya dengan hati yang terbuka.”
Beliau menegaskan bahawa pendiriannya sebagai seorang pemimpin adalah untuk sentiasa menghormati fungsi media dan kebebasan bersuara.
“Selaku pemimpin saya ingin menegaskan bahawa saya sentiasa menghormati kebebasan media dan tidak pernah berniat untuk menyinggung mana-mana pihak terutamanya wartawan yang merupakan tunggak informasi Kerajaan Madani,” ujarnya.
Nga turut menjelaskan matlamat beliau dalam melaksanakan tugas adalah untuk pembangunan negara yang menyeluruh.
Menurut beliau: “Objektif saya hanyalah untuk bersama-sama membina sebuah Malaysia masyarakat berbilang kaum yang inklusif, progresif dan sentiasa mengangkat martabat negara di peringkat antarabangsa.”
Menteri KPKT itu turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan media.
“Saya amat menghargai kehadiran serta sokongan rakan-rakan media yang sentiasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan inisiatif KPKT kepada rakyat seperti yang berlangsung selama ini,” katanya.
Beliau menyatakan kesediaan untuk menyelesaikan isu ini secara baik dan teratur: “Saya dengan rendah hati sudi untuk berjumpa dengan pihak media yang terlibat dalam masa terdekat supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan teratur.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.