
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkuat kuasa hari ini, serta berkongsi detik perpisahan bersama para kakitangannya di kementerian berkenaan.
Dalam ciapan di platform X yang disertakan dua keping gambar, beliau merakamkan penghargaan atas peluang yang diberikan untuk berkhidmat sebagai menteri.
“Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk berkhidmat sebagai Menteri di pejabat ini. Sebuah pasukan yang muda (dan berjiwa muda), penuh dedikasi. Terima kasih kerana memahami pilihan yang sukar ini. Selalunya, keputusan yang betul adalah keputusan yang paling sukar,” katanya.
Beliau turut memuat naik petikan lirik daripada lagu kumpulan rock terkenal Amerika Syarikat, Green Day, yang berjudul Time of Your Life.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri merangkap Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Saifuddin Nasution Ismail, pernah menyuarakan harapan agar Nik Nazmi mempertimbangkan semula keputusan beliau untuk meletak jawatan.
Pada 28 Mei lalu, Nik Nazmi mengumumkan bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang berkuat kuasa hari ini.
Pada hari yang sama, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, turut mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Ekonomi, yang berkuat kuasa pada 17 Jun lalu.
Kedua-dua pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dipercayai mengambil keputusan tersebut berikutan kegagalan mereka mempertahankan jawatan masing-masing sebagai Timbalan Presiden dan Naib Presiden dalam pemilihan parti yang berlangsung pada Mei lalu.