
Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir, melahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim yang didakwa gagal menunaikan janji-janji pilihan raya selepas lebih 30 bulan mentadbir negara.
Beliau menyatakan bahawa dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), gabungan itu telah menjanjikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan mampan demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh, termasuk menangani isu kos sara hidup.
“Dalam mukadimah Tawaran Harapan PRU15 dinyatakan bahawa sepanjang lebih 30 bulan pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), kelemahan dasar serta kepimpinan mereka telah membebankan rakyat.
“Antaranya termasuk mengabaikan cabaran generasi yang tercicir serta jurang sosial dan krisis iklim yang semakin meruncing,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Roslan menambah bahawa pelbagai janji telah dibuat oleh Pengerusi PH yang kini merupakan Perdana Menteri ke-10 (PMX), termasuk janji untuk menurunkan harga minyak dan tarif elektrik, yang sehingga kini masih menjadi perbincangan umum.
Namun, katanya, setelah PH yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah membentuk kerajaan campuran bersama BN dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak, persoalan utama rakyat ialah sejauh mana janji-janji tersebut telah dilaksanakan.
“BN mungkin mahu lepas tangan dengan alasan bahawa mereka bertanding menentang PH dalam PRU15. Namun, mereka tidak boleh menafikan bahawa selepas PRU tersebut, merekalah antara pihak pertama yang menerima pelawaan PH untuk membentuk kerajaan perpaduan.
“Justeru, suka atau tidak, mereka juga harus memikul tanggungjawab terhadap janji-janji PH kerana mereka merupakan rakan kongsi minoriti dalam kerajaan,” ujarnya lagi.
Beliau menyatakan bahawa rakyat kini mula membuat perbandingan antara kerajaan PMX dengan pentadbiran terdahulu seperti Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.
“Rakyat membuat perbandingan kerana mereka merasakan kehidupan di bawah kerajaan dahulu lebih stabil, selesa dan tidak seberat beban seperti di bawah pentadbiran PMX,” katanya.
Tambahnya, media sosial kini dipenuhi dengan pelbagai dakwaan dan rakaman video yang menunjukkan penderitaan rakyat semakin meruncing, dan golongan belia serta mahasiswa kini berani turun ke jalan raya menuntut Anwar meletak jawatan.
“Kos sara hidup rakyat semakin meningkat dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan, sedangkan gaji dan upah tidak berubah.
“GST yang dahulu diperkenalkan oleh Najib telah dimansuhkan oleh Anwar dan digantikan dengan SST yang kononnya memberi impak fiskal yang lebih pantas.
“Malangnya, pelaksanaan SST yang akan diperluaskan mulai 1 Julai ini dilihat semakin menekan rakyat dan para peniaga. Ini belum lagi mengambil kira kenaikan tarif elektrik pada tarikh yang sama,” jelasnya.
Roslan mempersoalkan bentuk kesejahteraan yang dijanjikan oleh kerajaan Madani kerana rakyat kini berasa semakin diabaikan dan kecewa dengan janji yang tidak ditunaikan.
“Kehidupan rakyat bukan semakin terbela seperti dijanjikan, malah semakin terpinggir. Rakyat resah dan kecewa. Salahkah mereka jika menyatakan bahawa mereka sebenarnya telah diperdaya oleh janji-janji PH yang kini mendominasi kerajaan?
“Salahkah anak-anak muda menuntut Anwar berundur kerana kegagalannya?” soal beliau.