
Ahli UMNO Terengganu perlu memulakan gerak kerja dari sekarang bagi merampas semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Wanita UMNO, Noraini Ahmad berkata, semua ahli UMNO, khususnya Wanita UMNO, perlu bangkit semula untuk mendekati dan memenangi hati pengundi, bukan hanya menunggu hingga saat akhir.
“Semua sayap — Wanita, Pemuda dan Puteri — perlu memulakan gerak kerja dari sekarang untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRU akan datang.
“Kita perlu bekerja kuat, sentiasa turun padang, mendekati dan beramah mesra dengan pengundi. Bukan hanya Wanita, malah semua sayap parti di pelbagai peringkat mesti memainkan peranan dan bekerja kuat.
“Sebelum ini kita pernah menang, maka tidak mustahil hasil usaha awal yang konsisten dapat membawa kita menang semula pada PRU akan datang,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Hulu Terengganu di Dewan Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Jenagor, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Rozi Mamat.
Noraini berkata, BN perlu kembali kuat dan mengetepikan segala perbezaan pendapat yang berlaku dalam parti bagi memastikan kemenangan dapat dicapai pada PRU akan datang.
Tambahnya, ketiga-tiga sayap parti perlu saling mengharmonikan peranan masing-masing supaya rakyat dari pelbagai lapisan dapat disantuni dengan baik.
Beliau berkata, Wanita UMNO boleh terus melaksanakan program turun padang secara rumah ke rumah, manakala Pemuda dan Puteri pula boleh mengatur pelbagai strategi kempen, termasuk di media sosial.
Sementara itu, Rozi dalam ucapannya menyeru semua ahli untuk tidak menoleh ke belakang, sebaliknya terus bergerak ke hadapan demi mencapai kemenangan.
“Yang lepas biarlah berlalu. Kita perlu kuat dan terus setia bersama parti. Jangan sesekali khianati perjuangan parti,” katanya.