
Lando Norris tidak dapat menyembunyikan senyumannya selepas berjaya mencapai impian zaman kanak-kanaknya – memenangi Grand Prix Britain untuk pasukan McLaren dalam perlumbaan penuh drama yang turut diganggu hujan pada petang Ahad.
Norris bermula dari petak ketiga, di belakang Max Verstappen dari Red Bull yang bermula di petak utama, dan rakan sepasukan Oscar Piastri. Namun, dia berjaya memimpin perlumbaan ketika cuaca berubah-ubah antara hujan lebat dan cahaya matahari terang.
Laluan Norris ke podium tertinggi dipermudah oleh insiden Verstappen yang tergelincir ketika kereta keselamatan berada di trek, dan penalti 10 saat yang dikenakan ke atas Piastri kerana kesalahan sewaktu perlumbaan disambung semula. Walaupun begitu, Norris berlumba tanpa kesilapan dan menikmati sorakan peminat tempatan ketika menghampiri garisan penamat.
“Masa beberapa pusingan terakhir tu, saya cuma tengok penonton,” kata Norris sambil ketawa. “Saya cuma nak hayati saat tu, nikmati detik tersebut, sebab mungkin ia takkan berlaku lagi. Saya harap berlaku lagi, tapi memori macam ni akan kekal bersama saya selamanya. Ia betul-betul luar biasa.”
Disebabkan cuaca yang tak menentu, cabaran untuk mengawal kereta dan pelbagai insiden yang berlaku, Norris mengakui: “Kalau nak cakap pasal tekanan, ini antara perlumbaan paling menegangkan pernah saya lalui.
“Sebenarnya, perlumbaan Oscar pun hebat. Saya kena beri pujian kepada Oscar, dia laju sepanjang perlumbaan. Jadi, beri tepukan untuk Oscar juga.
“Dia bagi saingan yang hebat dan saya suka detik macam tu di trek. Cuma saya lebih suka bila saya di depan dia, bukan sebaliknya — tapi itulah lumrah. Kredit kepada dia dan juga McLaren.
“Dapat menang di tempat sendiri, depan keluarga dan kawan-kawan — memang luar biasa. Terima kasih banyak kepada mereka semua.”
Kemenangan ini juga membolehkan Norris merapatkan jurang mata kejuaraan daripada 15 mata kepada hanya 8 di belakang Piastri, sebelum pelumba kembali ke litar untuk GP Belgium pada hujung minggu 25-27 Julai nanti.