Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hasan bertegas tidak akan menyerahkan kerusinya kepada Barisan Nasional (BN), susulan hasrat Nazri Aziz kembali bertanding di kawasan itu pada PRU16.
Azahari kini bersama Wawasan selepas dipecat Bersatu pada Februari lalu. Beliau berkata, dirinya akan terus bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) kerana telah memenangi kerusi itu pada PRU15.
“Walaupun sekarang Wawasan, kita akan pertahankan kerusi penyandang. Sebab Wawasan di bawah PN, jadi saya akan bertanding balik atas tiket PN.
“Takkan kita mudah-mudah nak serah balik pada BN begitu,” katanya kepada FMT, merujuk kehadiran parti komponen PN seperti PAS dan Gerakan di Padang Rengas.
Hasrat Nazri tidak pernah dimaklumkan
Azahari berkata, hasrat Nazri untuk kembali bertanding sudah berlegar sejak tahun lalu. Namun, Nazri tidak pernah memaklumkannya secara peribadi kepada beliau.
Terdahulu, Nazri yang mewakili Padang Rengas selama empat penggal dari 2004 hingga 2022 menegaskan kawasan itu kerusi BN dan meminta PN mencari kerusi lain. Beliau berkata demikian walaupun BN dan PN kini menjalin kerjasama pilihan raya di beberapa negeri.
Pada PRU15, Azahari menewaskan calon BN Ariff Abdul Majid dengan majoriti 3,046 undi.
Pertahan kerusi sebagai penyandang
Menurut Azahari, hampir empat tahun berkhidmat di Padang Rengas tanpa meninggalkan kawasan itu mengukuhkan pendiriannya untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Beliau yang juga ketua Wawasan Padang Rengas berkata, kedudukannya sama seperti Nazri yang masih mengetuai UMNO bahagian itu.
“Dia ketua bahagian. Saya pun ketua bahagian Wawasan. Jadi kita pun sama juga kita pun akan pertahankan,” katanya.
Bagaimanapun, Azahari menyifatkan hasrat Nazri kembali bertanding sebagai pendirian peribadi, bukannya keputusan rasmi BN.
“Dia punya (hasrat) suara peribadi, bukan mewakili pimpinan tertinggi BN… keputusan akhir parti yang buat,” katanya.
Serah kepada pucuk pimpinan
Azahari berkata, belum ada sebarang perbincangan mengenai pertindihan tuntutan kerusi itu. Beliau menyerahkannya kepada pucuk pimpinan kedua-dua gabungan untuk dimuktamadkan.
“Yang itu kita serah kepada pimpinan atasan. Sebab kalau kita bertemu di bawah ini dia tak boleh buat kata putus,” katanya ketika ditanya sama ada terdapat rancangan untuk berjumpa Nazri.
Menurutnya, presiden Wawasan sebelum ini tegas mahu mempertahankan 19 kerusi Parlimen miliknya, yang sebelum ini bertanding atas tiket Bersatu, termasuk Padang Rengas. Pendirian itu berdasarkan prinsip mengekalkan penyandang.
Namun, Azahari tidak menolak kemungkinan pertukaran kerusi menerusi rundingan antara BN dan PN, walaupun berpendapat penyandang sedia ada lebih wajar dikekalkan.
“Ataupun ‘worst to worst’ mungkin ada ‘swaplah’. Walaupun ‘swap’ tapi ‘better incumbent’ ni kita kekalkan.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.