PAS mengambil iktibar daripada kesilapan lalu dalam rundingan pembahagian kerusi dengan Umno dan kini lebih bertolak ansur dalam kerjasama antara kedua-dua parti, kata Ketua Penerangannya Ahmad Fadhli Shaari.
Fadhli berkata demikian ketika menjadi hos bersama dalam audio siar Keluar Sekejap. Beliau mengulas pemerhatian Shahril Hamdan bahawa PAS dilihat bersedia menerima pembahagian kerusi lebih kecil dalam kerjasamanya dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka.
PAS tak mahu sejarah berulang
Menurut Fadhli, PAS sedar tindakan terlalu berkeras dalam rundingan kerusi boleh menyebabkan BN memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“PAS belajar satu perkara. Kalau kita terlalu berkeras dalam pembahagian kerusi, akan berlaku satu keadaan… BN akan bekerjasama dengan PH,” katanya.
“Perkara ini pernah berlaku sebelum ini dan kita tidak mahu ia berulang.
“Kita nampak tanda-tanda itu baru-baru ini apabila BN seolah-olah membuka ruang rundingan dengan kedua-dua pihak… sampai kita tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku.”
Beliau berkata kerjasama kali ini lebih berhati-hati kerana PAS dan Umno sedar akan perselisihan yang pernah berlaku antara mereka, serta kepentingan menjaga hubungan kedua-dua parti.
Pendirian BN beberapa kali berubah
Pendirian BN mengenai kerjasama politik menjelang PRN Melaka memang beberapa kali berubah. Selepas menyatakan hasrat untuk bertanding secara solo, gabungan diterajui Umno itu mengumumkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), sebelum membuka ruang rundingan dengan PH.
BN akhirnya bersetuju bekerjasama dengan PN pada pilihan raya 14 Nov ini. BN bertanding di 23 kerusi manakala PN di baki lima kerusi.
Umno sengaja biar PAS tertanya-tanya
Sementara itu, Shahril berpandangan kepimpinan Umno mungkin sengaja tidak menutup ruang rundingan dengan pihak lain, bagi mengelakkan PAS terlalu selesa dengan kerjasama mereka.
Bekas ketua penerangan Umno itu berkata, kepimpinan parti berkenaan tidak mungkin memberikan komitmen penuh kepada mana-mana kerjasama politik, walaupun sudah mengetahui hala tuju yang mahu diambil. Menurutnya, pendekatan itu mungkin bertujuan memastikan PAS tidak membuat tuntutan kerusi secara berlebihan.
“Saya rasa mereka (Umno) bukan serius pun (mahu bekerjasama dengan PH). Mereka cuma memberi harapan dan bayangan supaya Umno boleh menunjukkan bahawa mereka belum memberikan komitmen sepenuhnya kepada PAS,” katanya.
“Kalau PN minta lebih banyak kerusi, Umno boleh kata, ‘Jangan lebih-lebih, kalau tidak aku pergi sebelah sana.’ Pada masa sama, perkara yang sama dibuat terhadap PH.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.