
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad mengkritik Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menggunakan retorik politik lama untuk meremehkan Kelantan, dan mengingatkan bahawa rakyat hari ini lebih bijak serta tidak mudah terpedaya dengan janji palsu dan projek segera.
“Jangan ingat rakyat boleh dibeli dengan janji dan digula-gulakan. Mereka sudah celik, bukan baru keluar dari gua,” katanya.
Zahid ketika berucap di Tanah Merah berkata pembangunan Kelantan akan lebih tertinggal tanpa peruntukan Kerajaan Persekutuan, kenyataan yang menurut Idris seolah-olah mahu meminggirkan negeri itu.
“Mungkin DS Zahid perlukan peta Malaysia edisi terkini, atau kelas semula tentang Perlembagaan Persekutuan,” tempelaknya.
Idris menegaskan bahawa rakyat Kelantan membayar cukai seperti rakyat Malaysia lain termasuk cukai jalan, cukai pendapatan, cukai perniagaan serta SST.
Beliau turut menyindir kenyataan silap Zahid sebelum ini seperti “Hidup Israel” dan “Malaikat pun lari malam”, serta pusingan U-turn dari menolak kerjasama dengan Anwar dan DAP kepada kini berkongsi pentas.
“Kelantan ialah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia. Jaga tutur kata, jika tidak rakyat akan ajar maksud hormat melalui undi,” tegasnya.