
Kumpulan pengundi berusia 21 hingga 49 tahun berpotensi menjadi penentu keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kata penganalisis, sambil menegaskan parti politik perlu menawarkan penyelesaian konkrit terhadap isu ekonomi, kos sara hidup dan masa depan pekerjaan.
Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga Ogos, kumpulan umur 30–39 tahun seramai 426,170 pengundi, 21–29 tahun 406,950 dan 40–49 tahun 313,102. Jumlah ketiga-tiga kelompok ini ialah 1,146,222 pengundi. Secara keseluruhan, daftar pemilih menunjukkan 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 29 Nov.
Penganalisis Universiti Malaysia Sabah (UMS), Bilcher Bala, dan penyelidik Borneo Geo-Politics & Electoral Studies (GeoPES), Syahruddin Awang Ahmad, berkata pengundi pertengahan usia bukan sahaja merupakan kelompok terbesar, malah cenderung membuat keputusan berdasarkan pertimbangan rasional berbanding sentimen semata-mata.
Bilcher menjelaskan golongan 30–39 tahun lazimnya berperanan menentukan keputusan di banyak kerusi DUN dan Parlimen kerana mereka berada pada fasa membina kerjaya, membesarkan keluarga dan mengurus kewangan isi rumah. Menurutnya, kumpulan ini mengutamakan jaminan ekonomi, pekerjaan stabil dan persekitaran politik yang tidak bergolak.
“Isu kos sara hidup yang meningkat, ketidakpastian ekonomi pasca pandemik dan akses kepada peluang pembangunan adalah perkara yang paling dekat dengan kehidupan seharian mereka,” kata Bilcher. Beliau menambah bahawa naratif kempen retorik atau janji populis sukar menarik sokongan kumpulan ini berbanding dasar yang jelas dan boleh diukur keberkesanannya.
Syahruddin pula menyatakan pengundi pertengahan usia lebih tertekan akibat beban kos isi rumah sambil berusaha membangunkan kerjaya. Mereka bukan sekadar mahukan kestabilan politik, tetapi juga pendapatan boleh guna dan peluang pekerjaan mampan yang membolehkan kehidupan dirancang.
Beliau mencadangkan parti-parti di Sabah melangkaui retorik seputar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menumpukan kepada dasar pembangunan ekonomi inklusif yang mampu menjana pekerjaan bernilai tinggi. Antara fokus yang disarankan ialah menarik pelaburan berkualiti, kawalan inflasi tempatan dan perumahan mampu milik.
Syahruddin menegaskan manifesto parti perlu realistik dan memberi keutamaan kepada kecekapan pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan, kerana pengundi pertengahan usia mahu bukti pelaksanaan, bukan sekadar slogan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.