
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Akin menggesa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Melaka agar segera memulakan perbincangan mengenai strategi pilihan raya sebaik sahaja Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai.
Shamsul, yang juga ketua PKR Melaka, menegaskan rundingan pembahagian kerusi tidak wajar dilengahkan memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka terbubar secara automatik pada 26 Dis 2026. Beliau berkata kedua-dua gabungan perlu menyediakan strategi besar sebagai satu unit bersepadu.
Beliau mengulas gesaan beberapa pemimpin DAP Melaka supaya hubungan dengan Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, diteliti semula. Pada Mei lalu, 15 cawangan DAP di Jasin meluluskan usul yang meminta kerajaan perpaduan tidak mencalonkan figura yang dianggap membawa pendekatan ekstrem dalam PRN akan datang.
Shamsul menegaskan PH dan BN harus kekal utuh untuk mengekalkan keyakinan rakyat dan menutup ruang kepada pembangkang menyerang gabungan itu. Beliau berkata persefahaman dalam kerajaan perpaduan penting bagi mengekalkan momentum prestasi yang telah ditunjukkan.
Menurut beliau, Perikatan Nasional (PN) kini berada dalam keadaan lemah susulan pertelingkahan dalaman dalam Bersatu serta ketegangan antara Bersatu dan PAS. Shamsul menambah bahawa sentimen positif terhadap kerajaan Madani sedang dirasai oleh masyarakat.
Beliau menggesa pemimpin DAP dan Umno menyelesaikan perbezaan secara dalaman dan terus mempamerkan semangat kerjasama kepada rakyat. Dalam masa yang sama, Shamsul menekankan pembahagian kerusi perlu dijalankan secara adil tanpa tuntutan keterlaluan dari mana-mana pihak.
“Tidak boleh kata kerana kita kerajaan perpaduan, satu pihak mahu bertanding 26 daripada 28 kerusi. Prinsip asasnya ialah keadilan,” katanya.
Untuk rekod, DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Dalam PRN 2021, BN memenangi 21 kerusi, PH 5 kerusi dan PN 2 kerusi. Seorang Adun Umno kemudiannya menyertai PAS sebelum undang-undang ant-lompat parti negeri berkuat kuasa.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.