
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim, tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana Ahli Parlimen yang mempunyai pandangan berbeza dengannya.
Anwar, yang juga Perdana Menteri, berpendapat bahawa setiap Ahli Parlimen berhak menyuarakan pandangan mereka, dan telah meminta ahli-ahli PKR untuk memahami perkara ini.
“Beliau tidak berniat untuk mengambil tindakan. Mereka berhak menyatakan pandangan masing-masing. Beliau telah meminta semua ketua cabang dan anggota supaya memahami perkara ini dan teruskan perjuangan,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri pertemuan bersama pimpinan PKR Selangor di sini, pada Jumaat.
Menurut Fahmi, Perdana Menteri turut menekankan bahawa pasca pemilihan parti merupakan masa terbaik untuk memperkukuh kekuatan jentera parti dari akar umbi hingga ke peringkat kepimpinan.
Beliau turut menggesa ketua-ketua cabang agar bersikap inklusif dan tidak mengetepikan mana-mana pihak yang tewas dalam pemilihan parti pada bulan Mei lalu.
“Jika sebelum ini semasa proses pemilihan, ada yang menggambarkan fenomena ‘kepala tanpa badan’, ‘ekor lain’ dan sebagainya, namun Perdana Menteri menggesa supaya ketua-ketua cabang yang menang melibatkan semua kekuatan dalam pelantikan jawatankuasa, termasuk dari kumpulan yang tewas atau tidak sehaluan,” ujarnya.
Walaupun Anwar tidak menamakan secara khusus mana-mana Ahli Parlimen yang berbeza pendapat, umum mengetahui bahawa bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, telah secara terbuka mengkritik pengurusan parti selepas pemilihan.
Tindakannya itu telah menimbulkan gesaan daripada beberapa anggota parti agar tindakan segera diambil terhadapnya atas dakwaan mencemarkan imej parti.
Gesaan tersebut semakin meningkat selepas Rafizi bersama beberapa Ahli Parlimen PKR mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isu kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara.
Untuk rekod, Rafizi gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR selepas tewas kepada Nurul Izzah, anak kepada Anwar.