Adun Pantai Jerejak, Fahmi Zainol, mempersoalkan pendirian DAP Pulau Pinang yang masih mengekalkan Umno dalam pentadbiran negeri, ketika hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semakin tegang.
“Sampai bila DAP Pulau Pinang nak kekalkan Umno dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang setelah bergaduh di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan semalam berbalas pantun disindir tapi masih mengekalkan Umno di Pulau Pinang,” katanya menerusi TikTok.
Wakil rakyat PKR itu menambah, “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian hilang Komtar,” sebagai amaran secara berkias mengenai kesan politik jika keadaan berkenaan berterusan.
Wakil rakyat PKR pertama bersuara terbuka
Fahmi menjadi wakil rakyat PKR pertama yang secara terbuka mempersoalkan kedudukan Umno dalam kerajaan Pulau Pinang. Perkara itu timbul selepas penasihat DAP, Lim Guan Eng, mencabar Presiden Umno, Zahid Hamidi, pada September lalu supaya turut mendesak PH menyingkirkan partinya daripada pentadbiran negeri.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang juga pengerusi PH Pulau Pinang menolak gesaan Guan Eng. Beliau menjelaskan pandangan itu bukan pendirian parti dan sebarang keputusan perlu menunggu ketetapan Majlis Presiden PH.
Pada Ogos lalu, kepimpinan PH Pulau Pinang sebulat suara memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan BN dan mengekalkan Adun Sungai Acheh, Rashidi Zinol, sebagai exco. Keputusan itu dibuat meskipun BN menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi PH Pulau Pinang, Faiz Fadzil, turut menggesa kedudukan Umno dalam kerajaan negeri dibincangkan susulan serangan pemimpin parti itu terhadap PH. Mesyuarat yang dijadualkan pada September bagaimanapun ditangguhkan ke bulan ini.
Hubungan PH-BN semakin renggang
Hubungan kedua-dua gabungan itu semakin renggang selepas persaingan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan. Kerjasama BN-PN kemudian meraih kemenangan besar di Melaka Sabtu lalu dengan menguasai 24 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH hanya memenangi empat kerusi, semuanya menerusi DAP.
Ketegangan itu turut merebak ke Dewan Rakyat apabila Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan, menyampaikan pantun yang didakwa menyindir PH pada Isnin. Tindakan itu mencetuskan bantahan beberapa Ahli Parlimen gabungan tersebut, termasuk RSN Rayer (Jelutong).
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.