
Polis Kuala Lumpur menjangkakan 10,000 hingga 15,000 orang akan menghadiri Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata pihak penganjur telah memaklumkan kepada IPD Dang Wangi, dan 2,000 pegawai serta anggota akan ditugaskan untuk memastikan kelancaran himpunan serta keselamatan awam.
“Menurut anggaran awal Cawangan Khas, kira-kira 10,000 hingga 15,000 orang dijangka hadir. Kami akan mengurus sebaik mungkin dan menyeru semua agar memastikan himpunan berjalan dengan aman serta elak sebarang provokasi,” katanya pada sidang media Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis KL.
Beliau memberi amaran bahawa individu yang mencetus provokasi akan dikenakan tindakan tegas. Hak untuk berhimpun dan bersuara tidak boleh disalah guna terutama melibatkan isu 3R (agama, raja, kaum).
“Anda boleh berhimpun tetapi jangan membakar apa-apa, dan jangan guna pembesar suara secara melampau seperti kejadian sebelum ini. Kita semua bertanggungjawab memastikan keselamatan negara,” tegasnya.
Polis memaklumkan orang ramai dijangka mula berkumpul di empat lokasi pada jam 11 pagi sebelum berarak ke Dataran Merdeka pada jam 2 petang. Setakat ini tiada penutupan jalan dirancang tetapi ia bergantung kepada keadaan semasa.