
Polis Diraja Malaysia telah menerima laporan berkaitan satu akaun TikTok mencurigakan yang menggunakan nama Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dengan nama pengguna “Saifuddin_Nasution1”. Akaun tersebut disyaki menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menawarkan bantuan kewangan palsu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran bantuan melalui media sosial.
“Sentiasa semak kesahihan maklumat sebelum mengambil tindakan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Laporan media semalam turut mendedahkan beberapa akaun TikTok yang menggunakan nama dan gambar Saifuddin dengan tujuan memperdaya orang awam. Akaun tersebut meletakkan pautan WhatsApp dalam ruangan biografi dan mendakwa kononnya menteri mahu salurkan bantuan.
Pejabat Menteri Dalam Negeri menegaskan bahawa Saifuddin tidak pernah menawarkan bantuan kewangan melalui platform media sosial, dan orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya.