
Sebanyak 596 calon mengesahkan pencalonan bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah pada 15 November lalu, meningkat ketara daripada 447 calon pada PRN ke-16 tahun 2020.
Pertandingan paling ramai pernah direkodkan di DUN Tulid dengan 14 penjuru, diikuti 13 penjuru di Bandau, Tamparuli, Inanam dan Kapayan. Banggi serta Moyog masing-masing 12 penjuru, manakala Senallang dan Merotai mencatat pertandingan paling kecil iaitu empat penjuru sahaja.
Demokrasi Terbuka Tapi Datang Bersama Cabaran
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Prof Madya Dr Ramzah Dambul berkata lonjakan bilangan calon mencerminkan keterbukaan sistem demokrasi negeri tetapi turut membawa cabaran sendiri.
“Secara teorinya, banyak calon bermakna rakyat ada lebih pilihan dan ini ciri demokrasi sihat. Tapi kita juga perlu sedar terlalu banyak calon boleh menyebabkan undi berpecah dan mengelirukan pengundi,” katanya kepada Bernama.
Beliau menjelaskan fenomena ini menunjukkan ketidakpuasan terhadap parti politik sedia ada sehingga ramai bertanding sebagai calon bebas atau mewakili parti kecil. PRN kali ini melibatkan 24 parti politik dan 74 calon bebas, termasuk kumpulan yang mengusung agenda tersendiri.
“Penyertaan mereka menunjukkan rakyat mahu alternatif baharu. Namun dari sudut kejuruteraan politik, ia boleh memecahkan undi reformasi dan akhirnya menguntungkan parti pemerintah,” ujar Ramzah.
Risiko Pengulangan Krisis 2018
Penyelidik Kluster Hubungan Antarabangsa dan Politik Borneo di Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS) Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Mohd Noor Yazid pula mengingatkan jumlah calon yang terlalu tinggi menimbulkan tanda tanya mengenai kestabilan politik negeri.
Beliau mempersoalkan sama ada ini menunjukkan demokrasi matang atau pengurusan parti terlalu longgar. Pertandingan banyak penjuru boleh menyebabkan pola pengundian terpecah dan melahirkan wakil rakyat yang menang bukan kerana kualiti tetapi akibat perpecahan undi.
“Kita tidak mahu PRN 2018 berulang, di mana tiada parti dapat majoriti sehingga ada dua ketua menteri. Keadaan ini boleh berulang jika undi terlalu terpecah,” katanya.
Prof Madya Dr Ramzah berharap semua pihak menerima keputusan rakyat dengan matang selepas pengundian nanti. Pihak yang menang perlu fokus pembangunan, manakala yang kalah terus berperanan sebagai pembangkang membina.
“Demokrasi bukan sekadar bertanding dan menang. Ia tentang menghormati proses, menerima keputusan rakyat dan bekerjasama untuk kemajuan Sabah,” tegasnya.
Hari pengundian ditetapkan pada 29 November ini, manakala pengundian awal pada 25 November.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.