Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Dis ini sebagai hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Pengerusi SPR, Ramlan Harun, berkata penamaan calon ditetapkan pada 28 Nov manakala pengundian awal pada 8 Dis.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada 26 Okt lalu, sekali gus membuka laluan kepada PRN.
Jumlah pengundi layak
Dalam sidang media di Kuching, Ramlan berkata seramai 2,058,781 orang layak mengundi dalam pilihan raya itu.
Jumlah tersebut terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera dan pasangan mereka, serta 10,833 anggota polis, anggota Pasukan Gerakan Am dan pasangan mereka.
Beliau berkata SPR melantik 82 pegawai pengurus pilihan raya dan 305 penolong pegawai pengurus pilihan raya.
SPR juga akan menubuhkan 82 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya bagi memantau aktiviti berkempen.
Keputusan PRN terdahulu
PRN terakhir diadakan pada Dis 2021, apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. Pembangkang ketika itu, Parti Sarawak Bersatu (PSB), memperoleh empat kerusi manakala DAP memenangi dua kerusi.
Adun PSB, See Chee How (Batu Lintang), kemudian meninggalkan parti itu untuk menjadi wakil rakyat bebas dan menyatakan sokongan kepada Premier Sarawak, Abang Johari Openg, yang juga pengerusi GPS.
PSB kemudian dibubarkan, dengan pemimpin dan ahlinya menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), sebuah komponen GPS, secara beramai-ramai.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.