
Hantaran terbaru bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengenai isu rasuah di Facebook kembali menarik perhatian ramai.
Faktor politik dan kebencian terhadap rasuah
Menurut Rafizi, faktor utama yang membawa beliau menyertai politik kira-kira 20 tahun lalu adalah kebenciannya terhadap isu rasuah yang tidak pernah padam di negara ini.
“Saya terjebak dalam politik kerana kebencian terhadap rasuah. Bila saya membesar, saya nampak ada sebahagian masyarakat yang mensucikan rasuah. Ada yang kata apa nak kisah pasal rasuah asalkan orang kita dapat,” katanya.
Fenomena rasuah dalam masyarakat dan perniagaan
Rafizi menegaskan, terdapat segelintir pihak yang menganggap rasuah sebagai keperluan dalam perniagaan atau sebagai peluang mengambil keuntungan apabila kerajaan bertukar ganti.
“Ada yang kata kalau tak rasuah macam mana nak buat bisnes. Ada yang menunggang lawan rasuah, rupa-rupanya sebab dia nak pula ambil tempat laba rasuah bila kerajaan bertukar ganti,” jelas beliau.
Desakan terhadap tindakan terhadap setiausaha politik kontroversi
Beliau sebelum ini mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecat setiausaha politiknya yang terpalit kontroversi berhubung surat sokongan dikeluarkan untuk kontraktor projek hospital.
Bagaimanapun, Anwar menolak desakan itu dengan menyatakan surat sokongan berkenaan bukanlah arahan daripada beliau.
Kesedaran dan skeptisisme terhadap slogan anti-rasuah
Rafizi menambah bahawa selepas lebih 20 tahun bercakap dan melawan rasuah, beliau mengakui sukar untuk mempercayai mana-mana kempen atau slogan anti-rasuah.
“Sebab saya nampak ini. Corruption is not bad. Corruption is only bad if I am not involved. But if I am part of that corruption, I’ll defend it. Rasuah tidaklah buruk. Rasuah hanya menjadi buruk jika saya tidak terlibat. Tetapi jika saya menjadi sebahagian daripada rasuah itu, saya akan mempertahankannya,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.